Juara Piala Dunia sekarang adalah milik Jerman tetapi negara yang paling dikaitkan dengan sukan bola sepak ialah Brazil.
Negara Amerika Selatan ini telah memenangi Piala Dunia sebanyak lima kali sejak kejuaraan ini diperkenalkan pada 1930. Para pemain legenda juga kebanyakannya berasal dari sana.
Sungguhpun begitu adalah memalukan jika dilihat dari segi kemudahan padang bola sepak di sana apatah lagi dengan prasarana yang begitu terhad.
Penduduk rumah setinggan di Brazil masih lagi bermain bola sepak di atas jalan raya.
Melihat pada pemasalahan ini, syarikat petroleum Shell telah bekerjasama dengan sebuah syarikat teknologi  London, Pavegen System, untuk membina padang bola sepak pertama yang menjana tenaga elektrik daripada pemain bola sepak yang bermain di atasnya.
Padang bola yang terletak di sebuah kawasan setinggan di Rio de Janiero ini mengumpul derapan kaki pemain untuk menjana tenaga kinetik seterusnya diubah kepada tenaga elektrik.
Teknologi yang dibangunkan oleh Pavegen ini telah digunakan pada tiga terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London.
Menggunakan sistem gabus yang berputar apabila dipijak, tenaga elektrik dijana menggunakan dinamo dan ia kemudian disimpan untuk menghidupkan lampu limpah yang diletak sekeliling padang.
Selain mengumpulkan tenaga kinetik daripada pemain bola sepak, padang ini juga menggunakan panel solar bagi memenuhi keperluan tenaga seharian.
Sebuah teknik menjana bekalan elektrik yang sangat kreatif bukan?
Pada pandangan penulis, sudah tiba masanya Malaysia ikut sama menggunakan teknologi ini bagi mengurangkan kos kesan kenaikan elektrik  yang akan dilaksanakan pada Januari tahun depan.
Oleh: hzqahmd/MYNEWSHUB.CC


