KUALA LUMPUR – Kalangan negara Komanwel yakin dengan kemampuan perkhidmatan awam Malaysia menerajui Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM), kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Katanya, pertubuhan itu juga yakin Malaysia mampu memacu CAPAM ke tahap lebih tinggi di arena antarabangsa, khususnya dalam usaha penekanan amalan tadbir urus baik.
“Saya bersyukur kerana telah diberi kepercayaan dipilih sebagai Presiden CAPAM bagi sesi 2014–2016.
“Saya percaya, ini bukanlah kali pertama mahupun kali terakhir kita diberi kepercayaan untuk memikul sesuatu tanggungjawab di arena global,” katanya ketika berucap di Majlis Penghargaan Sumbangan Khidmat Bakti, malam tadi.
Majlis itu bersempena penutupan Persidangan Dwitahunan CAPAM 2014 pada 19-21 Oktober lepas.
Lebih 1,000 kakitangan awam mewakili pelbagai kementerian, hadir pada persidangan yang turut membantu kejayaan acara berkenaan. – BERNAMA