MADRID – Lionel Messi memperbaharui rekod jaringan Telmo Zarra selama 59 tahun sebagai penjaring terbanyak dalam sejarah La Liga selepas menyumbang hatrik untuk Barcelona menentang Sevilla, awal pagi tadi.
Penyerang sensasi Argentina itu mencipta gol pembukaan menerusi tendangan percuma sekali gus menyamai rekod 251 gol oleh Zarra dalam 289 kali penampilannya pada La Liga.
Messi kemudian mudah menguis masuk bola hantaran Neymar untuk memperbaharui rekod jaringannya itu sebelum gol ketiganya menerusi sepakan rendah.
Ia sekali gus menyaksikan rakan sepasukannya terus meluru ke arah Messi dan melambungkannya ke udara bagi meraikan rekod yang dicipta di hadapan lebih 78,000 penyokong Barca di Camp Nou.
Penyerang lagenda Basque, Zarra menjaringkan gol ke-251 untuk Athletic Bilbao sepanjang 15 tahun kerjayanya dari 1940 hingga 1955. – AFP