KUALA LUMPUR – Gaya hidup sihat dapat mengurangkan risiko penyakit diabetes atau kencing manis, kata Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan Datuk Dr Azman Abu Bakar.
Beliau berkata amalan gaya hidup sihat adalah seperti cara pemakanan yang betul dan seimbang, pengambilan makanan segera dalam kadar sederhana serta pengurangan kadar gula dalam makanan dan minuman.
Katanya kesedaran tentang gaya hidup sihat perlu dipertingkatkan dalam diri masyarakat terutamanya golongan muda yang lebih banyak menghabiskan masa dengan bermain permainan video melalui gajet berbanding menghabiskan masa dengan bersenam.
“Kita akan terus mengadakan kempen kesihatan bersama komuniti-komuniti kerana saya percaya dengan cara ini masyarakat akan lebih tertarik untuk menyertainya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Larian dan Jalan Kaki Amal Hari Diabetes Sedunia 2014 di sini, hari ini.
Acara itu disertai lebih 2,000 peserta merupakan acara tahunan yang diadakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai risiko penyakit diabetes.
Dr Azman berkata Kementerian Kesihatan menyambut baik setiap usaha dijalankan pihak komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam mengawal penyakit diabetes daripada terus meningkat dan membahayakan masa depan rakyat negara ini. – BERNAMA