KOTA KINABALU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah melupuskan sejumlah 419,810 bungkusan rokok seludup yang dirampas, bernilai hampir RM500,000 di tapak pelupusan Kilang Papan Hong Tiong, Inanam dekat sini hari ini.
Pengarahnya Datuk Dr. Janathan Kandok berkata rokok putih jenama John itu dipercayai diseludup masuk melalui Pelabuhan Kota Kinabalu dan ia berjaya dirampas sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
Bercakap kepada pemberita selepas pelupusan rokok-rokok tidak sah itu, beliau berkata seramai 309 orang ditahan dan 133 didakwa di seluruh Sabah dalam beberapa operasi termasuk Ops Pacak, Ops Outlet dan Ops Bersepadu sejak 2012.
Katanya sejumlah 2,669 kes rokok seludup dengan nilai rampasan dianggarkan RM11.3 juta dan cukai kira-kira RM30 juta dicatat bagi tempoh tiga tahun sehingga tahun ini.
Janathan berkata operasi rampasan akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan, pengedaran dan penjualan rokok yang tidak sah. – BERNAMA

