KANGAR – Jumlah kes demam denggi dan demam denggi berdarah di negeri ini direkodkan sebanyak 227 kes sejak awal tahun ini hingga 8 Nov lalu, meningkat 28 kes berbanding tempoh sama tahun lepas, kata Pengarah Kesihatan Negeri Dr Zaini Hussin.
Katanya dalam tempoh seminggu bermula 2 Nov hingga 8 Nov, sebanyak sepuluh kes dicatatkan, iaitu meningkat tiga kes berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Bagaimanapun tiada kematian dilaporkan.
Secara kumulatif hingga minggu 45/2014, 28 wabak demam denggi dan demam denggi berdarah dilaporkan, meningkat bagi tempoh yang sama tahun lepas iaitu sebanyak 16 kes, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bagi tempoh antara 2 Nov hingga 8 Nov lepas, terdapat tiga kawasan wabak terkawal dikesan iaitu di Batu 7 1/2, Jalan Kaki Bukit, Kampung Lat Seribu dan Jalan Raja Syed Alwi di samping satu kawasan wabak baharu di Pangsapuri Sri Sena yang dikesan pada 2 Nov lepas, katanya.
11 kawasan didapati mempunyai indeks pembiakan Aedes yang tinggi dan berpotensi untuk berlaku demam denggi iaitu Kampung Lat Seribu, Kampung Kuala Sungai Baru dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang, Taman Angsana, Taman 20 dan Taman Haz Melati (DUN Beseri), RPA Padang Besar (Titi Tinggi), Pangsapuri Sri Sena (Sena), Taman Santan 2 (Santan), Jalan Raja Syed Alwi dan Kampung Sungai Berembang (Indera Kayangan) serta Kampung Jejawi (DUN Arau).
Sehubungan itu, Dr Zaini berharap orang ramai dapat terus waspada terhadap ancaman penyakit berkenaan dengan menjalankan usaha mencari dan memusnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes di sekitar tempat tinggal mereka.
Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan agar memakai baju lengan panjang dan seluar panjang ketika keluar pada waktu senja dan awal pagi dan membuat semburan aerosol di rumah masing-masing antara 6 pagi hingga 8 pagi dan 6 petang hingga 8 malam.
Mereka juga dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan awal sekiranya demam, katanya. – BERNAMA