PEPATAH lama ada berkata: ‘Mata pena lebih tajam daripada mata pedang’, mungkin masih relevan walaupun zaman sudah banyak berubah dan kini petugas media tidak lagi menulis berita dengan menggunakan pen, sebaliknya mengetuk pada papan kekunci komputer.
Sekali lagi, kurang 24 jam selepas artikel kedua disiarkan MYNEWSHUB susulan isu pelan pemulihan Malaysia Airlines (MAS) oleh Jentayu Danaraksa Sdn. Bhd. (Jentayu), syarikat berpusat di Johor Bahru, Johor itu segera membuat sidang akhbar tergempar hari ini.
Lucunya, sidang itu dibuat secara tertutup dengan menjemput hanya beberapa organisasi media tertentu dan lebih aneh, kali ini ia dibuat di pejabat Kesatuan Kakitangan MAS (MASEU) di Subang Jaya, Selangor yang memang diketahui jelas ‘memihak’ kepada Jentayu.
Maka apa yang pasti, sudah tentulah wartawan akan ‘dihidangkan’ berita badan sekerja petugas bukan eksekutif syarikat penerbangan kebangsaan itu sambut baik usaha Jentayu menyelamatkan MAS yang kini dipegang pihak Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).
Meskipun menyedari ia tidak dibuka kepada media yang tidak dijemput, atas sifat rasa tanggungjawab bagi melaporkan terus pandangan Jentayu dan MASEU, penulis dan jurugambar MYNEWSHUB dengan ‘tebal muka’ tetap hadiri sidang itu petang Jumaat.
Malangnya, sebagaimana dijangka daripada mula, kami berdua dilarang masuk walaupun datang awal sebaik pegawai Jentayu menyedari kami dari MYNEWSHUB; yang selama dua hari berturut-turut ‘mengkritik’ pelan Jentayu mahu mengambil alih MAS.
Setiausaha Sulit Kanan kepada Pengarah Urusan Jentayu, Arizal Rahman yang terkejut dengan kehadiran tidak diduga MYNEWSHUB, bagaimanapun cuba berlapik alasan mengatakan wartawan portal berita apatah lagi penulis blog tidak dibenarkan masuk.
Beliau bertegas menghalang kami daripada terus masuk dan mendakwa wartawan portal propembangkang Malaysiakini yang lagi datang lebih awal pun dilarang membuat liputan sidang tersebut ketika program itu baharu hendak bermula tepat pukul 3.30 petang.
http://www.youtube.com/watch?v=-9lyAe215PE
Nampaknya MYNEWSHUB sudah pun jadi setaraf Malaysiakini yang terkenal sering menyiarkan artikel berbaur antikerajaan dan meskipun diragui kesahihan, ia tetap rujukan popular penyokong pembangkang bagi mendapatkan maklumat semasa tanah air.
Demi mengelak kejadian tidak elok, MYNEWSHUB segera mengalah dan meninggalkan pejabat MASEU dengan ‘tangan kosong’ tanpa diberi peluang langsung mendapatkan pencerahan daripada Jentayu berhubung isu kontroversi pengambilalihan MAS itu.
Tambahan Arizal mendakwa, Pengarah Urusan Jentayu, Feriz Omar; yang jadi sasaran kritikan MYNEWSHUB dua hari berturut-turut; akan buat sidang akhbar secara terbuka dan beri ‘jaminan mulut’ jemput semua wakil media dan portal berita tidak lama lagi.
Ini bermakna jika ikut janji mulut Arizal, sidang akhbar berikutnya dalam tempoh 10 hari lagi atau pada 24 November depan; bakal menyaksikan rakyat Malaysia akan didedahkan dengan lebih jelas segala pelan Jentayu bagi menyelamatkan MAS yang kini nazak.
Maklumlah, jika semua organisasi media datang, pasti ada soalan maut atau cepu emas ala program HardTalk stesen BBC tetapi sekali lagi anehnya, sidang akhbar itu dibuat kebetulan sehari sebelum Perhimpunan Agung UMNO yang jadi tumpuan rakyat Malaysia.
Ketepikanlah soal tarikh itu, Jentayu sewajarnya belajar daripada kesilapan dalam urus imej persepsi khasnya strategi perhubungan awam yang syok sendiri dan mudah gelabah apabila diasak kritikan pihak luar khasnya pemain industri penerbangan global.
Seperti dinyatakan menerusi dua artikel disiarkan MYNEWSHUB berturut-turut semalam dan kelmarin, ramai ragu pelan pemulihan Jentayu dan kurang yakin dengan cara syarikat itu ambil alih MAS yang bertaraf antarabangsa dengan rekod 40 tahun pengalaman.
Sesungguhnya rakyat kita berkongsi sentimen masih sayangkan MAS dan mereka pasti harap Jentayu betul-betul serius memiliki pelan pemulihan yang jauh lebih baik berbanding hanya 12 perkara digariskan Khazanah pada Ogos lalu.
Persoalannya sekali lagi: Mampukah Jentayu?
BACA JUGA:
Apa Motif Jentayu Muncul Pelan Pemulihan MAS?
Feriz Marah Jentayu Diperleceh Mahu Ambil MAS
Video: RIZA RAZAK/MYNEWSHUB

