KANDANG (MELAKA) – Seorang isteri tidak menyangka tindakan dua kali suaminya berpatah balik ketika hendak pergi kerja kerana hujan menjadi petanda dia menjadi pergi selama-lamanya.
Zaleha Mohd, 39, berkata, dia hanya terkejut dimaklumkan mengenai kejadian sebelum terpaku melihat sekujur tubuh suaminya yang maut akibat kemalangan di Jalan Alai-Kandang, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, mangsa, Zamarol Zaman Othman, 43, seorang pekerja am syarikat pembersihan maut selepas van syarikat dipandunya dirempuh motosikal ditunggang Muhammad Syafiq Suhaimi, 18, selepas dia keluar simpang dari pejabatnya.
Menurut Zaleha, suaminya sebelum kejadian pergi ke tempat bekerja menaiki motosikal namun balik semula ke rumah menukar Perodua Kancil kerana hujan.
“Biasanya suami keluar dari rumah kira-kira jam 6.30 pagi dan pulang jam 8 malam. Namun pagi tadi (semalam), selepas dia keluar menaiki motosikal, dua kali dia berpatah balik kerana hujan lebat sebelum ke tempat kerja menaiki kereta Kancil (Perodua).
“Saya tidak menyangka tindakan arwah dua kali berpatah balik ketika pergi kerja kerana hujan pagi tadi (semalam) menjadi petanda pemergiannya,†katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.
Sementara itu, menurut sumber, Kamarol Zaman dipercayai memandu van yang diambil di tempat kerjanya untuk ke lokasi pembersihan.
“Pintu sisi arwah dirempuh motosikal jenis Yamaha 125z yang ditunggang seorang remaja yang kemudian tercampak ke tingkap van dan topi keledar yang dipakainya mengena tepat ke arah muka Kamarol Zaman menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,†katanya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika motosikal ditunggang Muhammad Syafiq meneruskan perjalanan dari persimpangan lampu isyarat Alai menghala Lebuh AMJ.
“Namun apabila sampai di tempat kejadian, motosikal tersebut melanggar van yang keluar simpang menghala ke kanan untuk ke persimpangan lampu isyarat Alai.
“Kamarol Zaman yang cedera di kepala maut di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat sementara Muhammad Syafiq pula mengalami kecederaan parah di kepala dan turut dikejarkan ke hospital untuk rawatan,†katanya.
Menurut Shaikh Abdul Adzis, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Sinar Harian Online

