KUALA LUMPUR – Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengadakan pertemuan dua hala bersama rakan sejawatan dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Abdullah Zayed Al Nahyan di sini, hari ini.
Pertemuan secara tertutup itu berlangsung selama sejam bermula 12.15 tengah hari, merupakan sebahagian daripada program lawatan rasmi dua hari Sheikh Abdullah ke Malaysia.
Sheikh Abdullah yang tiba di sini semalam, dijadual pulang ke negaranya petang ini.
Menurut kenyataan Wisma Putra pada Khamis lepas, Anifah dan Sheikh Abdullah dijangka berbincang dan bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama serta bidang kerjasama lain.
UAE adalah antara rakan perdagangan penting Malaysia di Timur Tengah, dengan nilai perdagangan antara kedua-dua negara berjumlah RM27.7 bilion pada 2013 iaitu peningkatan sebanyak 11.7 peratus daripada RM24.8 bilion pada 2012.
Pada tahun ini, jumlah dagangan Malaysia dengan UAE sehingga Ogos adalah sebanyak RM18.6 bilion, iaitu eksport dari Malaysia bernilai RM7.9 bilion manakala import berjumlah RM10.6 bilion dengan imbangan dagangan memihak kepada UAE sebanyak RM2.7 bilion. – BERNAMA