KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menghasut orang ramai supaya membantah keputusan kerajaan menggunakan mekanisme pengapungan terkawal bagi menentukan harga runcit petrol RON95 dan diesel mulai 1 Disember ini.
Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa, langkah itu kononnya keputusan yang tidak bertanggungjawab kerana rakyat akan dibebankan dengan kenaikan harga barangan secara berganda.
“Meskipun bersetuju bahawa pemulihan kedudukan kewangan negara perlu dilaksanakan, AMK berpendapat komitmen dan keutamaan kerajaan perlu jelas.
“Oleh kerana itu, AMK mengajak orang ramai mempersoal komitmen dan pilihan keutamaan yang diambil oleh kerajaan pada masa kini,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Nik Nazmi turut meminta kerajaan memaklumkan mekanisme penentuan harga minyak, jumlah bayaran yang diberikan oleh Petronas kepada kerajaan mengikut tahun sejak ia mula ditubuhkan dan ke manakah ia digunakan.
Beliau turut mempersoalkan keputusan itu dilaksanakan pada waktu banyak isu rasuah dan ketirisan masih terus berleluasa.
“Ketika banyak persoalan lain berkaitan perbelanjaan besar kerajaan tidak dijelaskan dengan baik, memangsakan rakyat menunjukkan kelemahan kerajaan,” dakwanya.

