GEORGETOWN – Sejumlah 6,771 mesin judi tidak berlesen dirampas dalam operasi polis di negeri ini sejak Januari hingga 31 Okt lepas, kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi.
Beliau berkata rampasan bernilai RM7.5 juta itu adalah hasil serbuan di 5,950 premis hiburan, premis perjudian dan pusat komputer yang menyediakan perkhidmatan judi tanpa lesen.
“Kami turut mengambil tindakan dengan membuat pemotongan bekalan elektrik di 49 premis judi tanpa lesen dalam usaha memastikan pengusaha tidak meneruskan kegiatan haram itu.
“Sebanyak 248 individu dituduh di mahkamah dan sebanyak 433 kertas siasatan dibuka membabitkan kes judi haram sepanjang tempoh yang sama,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Bacaan Ikrar Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata operasi judi besar-besaran di Pulau Pinang kini memasuki fasa dua dengan polis akan mendapatkan waran daripada mahkamah untuk menggeledah premis yang menawarkan perkhidmatan judi tidak berlesen.
Abdul Rahim berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam menjalankan operasi itu.
“Fasa pertama telah selesai dan setakat ini ketua polis daerah serta ketua polis balai telah sahkan tiada sebarang kegiatan judi tanpa lesen di kawasan mereka. Kami telah gempur habis-habis dalam operasi fasa pertama,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis kontinjen Pulau Pinang akan menerima 34 motosikal baharu untuk Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bagi membendung kes-kes pecah rumah dan samun di negeri ini.
Beliau berkata semua motosikal itu dijangka diterima dalam tempoh terdekat dan akan ditempatkan di daerah Timur Laut dan Seberang Perai Utara (SPU). – BERNAMA