IPOH – Dua puluh tiga mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu dekat Kerian di sini, masih tidak dibenarkan pulang ke rumah berikutan cuaca tidak menentu di kawasan Hulu Selama, Kedah dan Selama, Perak.
Ketua Penolong Pegawai Daerah Kerian (Tanah), Muhamad Ghopran Yeop Hamzah, berkata mereka terdiri sembilan keluarga dari Kampung Beriah, Kampung Parit Simpang Empat, Kampung Parit Simpang Lima dan Kampung Matang Tengah yang dipindahkan ke pusat itu, Jumaat lalu.
“Mereka tidak dibenarkan pulang walaupun cuaca di sini cerah kerana kami bimbang cuaca tidak menentu di Hulu Sungai Selama, Perak dan Selama, Kedah akan menyebabkan paras air sungai meningkat bila-bila masa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Setakat ini, beliau berkata keadaan mangsa banjir dilaporkan selamat dan mereka menerima bekalan makanan dan bantuan keselamatan daripada agensi kerajaan berkaitan.
“Mereka mendapat bekalan makanan percuma yang disalurkan daripada wakil rakyat Alor Pongsu, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan Daerah serta Hospital Parit Buntar dan menerima pemeriksaan kesihatan berkala.
Pusat pemindahan itu turut dikawal polis,” katanya.
Muhamad Ghopran berkata, seorang calon yang menduduki peperiksaan SijilPelajaran Malaysia (SPM), Muhammad Shafiz Mat Isa, 17, daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Pongsu, antara mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan itu.
“Seramai 23 calon SPM dari Kampung Matang Pasir dan Kampung Changkat Lobak yang tidak dipindahkan di pusat pemindahan pergi ke sekolah menaiki kenderaan Jabatan Pertahanan Awam berikutan jalan di dua kampung berkenaan ditutup kepadak enderaan ringan,” katanya.
Katanya, berdasarkan maklumat Jabatan Pengairan dan Saliran, jalan yang menghubungkan Alor Pongsu-Kerian di KM13 hingga KM17, masih ditutup untuk kenderaan ringan walaupun paras air mencatat penurunan kepada 0.2 meter.
Katanya, agensi kerajaan termasuk pihak penguat kuasa akan mengadakan mesyuarat pengurusan bantuan bencana daerah Kerian mengenai keadaan banjir di daerah berkenaan, petang ini. – BERNAMA