KUALA TERENGGANU – Sebanyak 1,429 kes demam denggi dilaporkan di seluruh Terengganu sehingga 15 Nov lepas iaitu 1,359 kes demam denggi biasa manakala 70 kes lagi, kes demam denggi berdarah.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Anwa Sulaiman berkata terdapat peningkatan sebanyak 958 kes berbanding tempoh sama pada tahun lalu yang semua daerah menunjukkan peningkatan kecuali Setiu.
“Kuala Terengganu mencatatkan rekod tertinggi iaitu 943 kes, Dungun (125 kes), Marang (107 kes), Besut (94 kes), Kemaman (82 kes), Hulu Terengganu (62 kes) dan Setiu (16 kes).
“Sebanyak 45 kawasan dikenal pasti sebagai kawasan wabak denggi iaitu 33 kawasan di Kuala Terengganu, lapan di Dungun dan tiga di Besut,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sehingga kini, terdapat dua kematian akibat demam denggi di Terengganu dan peningkatan kes yang sangat ketara di negeri itu dikesan bermula sejak Ogos dengan purata kes denggi dilaporkan antara 60 hingga 65 kes setiap minggu.
Sempena cuti persekolahan bermula Jumaat ini, Dr Anwa berkata Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu meminta kerjasama semua sekolah agar mengambil langkah yang perlu bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes di persekitaran kawasan sekolah.
“Cuti persekolahan hingga 31 Dis depan, perlu dimanfaatkan dengan memeriksa tempat berisiko pembiakan nyamuk itu seperti kolam hiasan, pasu bunga dan landskap yang boleh menakung air.
“Memasukkan ubat pembunuh jentik-jentik ke dalam kolah atau takungan kekal, tangki pam tandas dan semua mangkuk tandas yang tidak berpenutup, yang mana ubat itu boleh diperoleh daripada Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan,” katanya.
Semasa cuti sekolah juga, diharap ada petugas yang boleh menjalankan kerja pembersihan dan pembasmian tempat pembiakan nyamuk Aedes ini, katanya. – BERNAMA

