PUTRAJAYA – Kementerian Luar menerima permohonan rasmi untuk mengekstradisi Pegawai Waran Dua Muhammad Rizalman Ismail, bekas pembantu staf di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, yang dituduh melakukan pecah rumah dan menyerang seorang wanita di Wellington.
Dalam kenyataan hari ini, Wisma Putra berkata pihaknya menerima permohonan rasmi itu pada 3 Okt, kira-kira lima bulan selepas kes itu berlaku.
Kata Wisma Putra, sejajar dengan Akta Ekstradisi 1992 (Malaysia), pihaknya mengemukakan permohonan tersebut kepada Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Memandangkan wujudnya hubungan dua hala yang amat baik antara Malaysia dan New Zealand, serta mengambil kira kepentingan awam, permohonan ekstradisi ini akan ditangani mengikut lunas undang-undang sewajarnya,” kata Wisma Putra.
Sejajar dengan itu, Wisma Putra dalam kenyataan berkenaan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pihak bahawa Malaysia ‘melengah-lengahkan’ pengendalian perkara itu. – BERNAMA