KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meraih tiga pengiktirafan pada majlis Anugerah Institut Jurutera Kimia (ICheme) Malaysia 2014, di sini malam tadi.
Universiti berkenaan memenangi Anugerah Proses Keselamatan, Anugerah Teknologi Lestari dan Anugerah Tahunan Pereka Inovasi.
Monash University Malaysia memenangi Anugerah Latihan dan Pendidikan sementara pensyarahnya, Patrick Tang Siah Ying meraih Anugerah Jurutera Muda Kimia Dalam Akademik.
Anugerah IChemE Malaysia dianjurkan bersama ICheme dan Petronas bagi meraikan kecemerlangan serta pencapaian dan innovasi dalam industri minyak, gas, air, makanan dan farmaseutikal.
Presiden ICheme Prof Geoff Maitland dalam ucapan penutup pada majlis berkenaan berkata institusi pengajian tinggi juga perlu menyediakan pelajar kejuruteraan kimia untuk pengetahuan umum.
“Jika kita tidak memberitahu dunia mengenai kejuruteraan kimia, maka kita tidak boleh mengharapkan orang lain untuk melakukan hal yang sama,” katanya.
Maitland berkata masa depan profesion kejuruteraan kimia berada dalam keadaan baik berikutan prestasi hebat pelbagai universiti tempatan ditambah pula dengan generasi baharu jurutera kimia yang komited terhadap industri berkenaan. – BERNAMA

