SEAKAN menjadi satu kemestian buat artis mewujudkan laman sosial Instagram untuk anak mereka.
Tujuannya mungkin untuk berkongsi gambar serta perkembangan terkini permata hati mereka untuk tatapan peminat masing-masing.
Antara selebriti yang mewujudkan laman Instagram anak mereka ialah Yasmin Hani, Ning Baizura dan pasangan popular, Awal dan Scha serta Diana Danielle dan Farid Kamil.
Namun perkara ini berbeza buat penyanyi Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail yang belum berhasrat untuk membuka Instagram khas buat anaknya, Arrianshah Akid.
Tomok walau bagaimanapun mengatakan mungkin di masa hadapan hatinya turut tergerak untuk menubuhkan Instagram Arrian seperti mana rakan artis yang lain.
“Buat masa sekarang saya belum terfikir nak buka akaun Instagram untuknya. Lagipun saya sendiri ada akaun laman sosial bukan sahaja di Instagram tetapi Facebook dan Twitter yang perlu dipantau serta dikemaskini senantiasa untuk peminat.
“Tapi siapa tahu ke depan nanti mungkin saya tergerak ke arah itu. Bagi saya aliran selebriti membuka akaun Instagram anak ini terpulang kepada ibu bapa sendiri. Masing-masing ada cara untuk berkongsi rutin harian termasuk gambar anak,” katanya memetik Berita Harian.
Jika diperhatikan, sekiranya Tomok berkongsi gambar Arrian pasti jumlah ‘Like’ yang diperoleh di Instagram miliknya lebih banyak jika dibandingkan dengan gambar Tomok sendiri.
Namun Tomok langsung tak mengambil kisah mengenai hal itu kerana mengetahui naluri kebanyakan manusia sememangnya sukakan kanak-kanak.
Siapa yang tak sukakan kanak-kanak kan, lebih-lebih lagi yang ‘supercute’ macam anak Tomok ni! – MYNEWSHUB.CC




