TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, 30, memilih gadis dari Gombak, Selangor, Cik Khaleeda Bustaman, 21, sebagai suri hatinya.
Istiadat pertunangan dijadualkan berlangsung di Istana Bukit Serene, jam 10 pagi Jumaat ini.
“Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar akan menghadiahkan tujuh barangan kepada pihak perempuan, manakala pihak keluarga perempuan pula akan membalas dengan sembilan barangan,” kata Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli pada sidang media di Bukit Timbalan, pagi tadi.
Istiadat pernikahan dikendalikan Mufti Johor Datuk Tahrir Samsuddin.
Hanya kerabat dan keluarga terdekat kedua-dua pasangan dijemput menghadiri istiadat pertunangan dan pernikahan pasangan ini.
Manakala istiadat persandingan Tunku Mahkota Johor dengan Cik Khaleeda akan diadakan di Istana Besar, Johor Baharu pada 7.30 malam, 8 November depan.
Istiadat merisik telah pun berlangsung pada 27 September lalu dengan rombongan diraja diketuai Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.
Cik Khaleeda akan dikurniakan gelaran Che Puan, isteri kepada Tunku Mahkota Johor selepas istiadat pernikahan itu, menurut Abdul Rahim.
Cik Khaleeda dilahirkan pada 16 Julai 1993 di Kuala Lumpur dan merupakan anak bongsu daripada lima beradik kepada pasangan Bustamam Daud dan Aziyah Abdul Aziz.
Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Seri Gombak daripada 2000 hingga 2003, sebelum meneruskan pendidikan awalnya di Sekolah St. George’s Hanover Square, London pada 2003 hingga 2004.
Cik Khaleeda seterusnya melanjutkan persekolahan menengahnya di Westminster Academy London pada September 2004 hingga Julai 2008 dan di Sekolah Sri Utama, Kuala Lumpur sekembalinya ke Malaysia pada 2010.
Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor juga mengumumkan istiadat persandingan bakal berlangsung secara sederhana tetapi penuh istiadat diraja Johor dan ketenteraan, dengan jangkaan kehadiran kira-kira 1,200 jemputan dari dalam dan luar negara.
Antara tetamu kehormat yang akan menghadiri istiadat kelak termasuk Sultan Brunei, Sultan Pahang, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Perdana Menteri Singapura serta barisan exco dan anggota Dewan Undangan Negeri Johor.
Menurut Abdul Rahim tiada liputan media bagi istiadat berkenaan.
Tunku Mahkota Johor diputerakan pada 30 Jun 1984 di Johor Baharu dan merupakan putera sulung daripada enam beradik kepada Sultan Johor dan Raja Zarith Sofia.
Baginda mendapat pendidikan awal di Johor Baharu sebelum melanjutkan pendidikan di Australian International School, Singapura pada 1999 dan Hale School di Perth, Australia.
Kemudian, Tunku Ismail menjalani latihan ketenteraan di India Military College di Dehradun, India dan ditauliahkan pangkat Leftenan pada 2004.
Baginda pernah menempa sejarah apabila menjadi rakyat asing pertama mengetuai Rejimen Berkuda Tentera India memberi tabik hormat kepada Presiden India, A.P.J Abdul Kalam sempena sambutan Hari Kebangsaan India ke-58 pada 20 Januari 2007.
– MYNEWSHUB.CC
Oleh: SYA



