KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil langkah proaktif bagi membantu penyewa Perumahan Awam di Jalan Loke Yew di sini yang terjejas akibat kejadian ribut petang semalam.
DBKL dalam satu kenyataan media memberitahu, DBKL telah mengambil tindakan segera dengan memasang dinding batu bata pada dinding bilik rumah yang tercabut akibat kejadian itu dan kerja-kerja baik pulih dijangka mengambil masa selewat-lewatnya selamat tujuh hari.
“Pada 12 Oktober 2014 kira-kira pukul 5 petang, satu kejadian ribut telah berlaku di Perumahan Awam Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur. Kejadian tersebut telah mengakibatkan dinding bilik di tiga unit kediaman rosak teruk.
“Ketua penyewa tersebut adalah Shah Farizal Zainal bagi unit 28-10U, Amizi Ibrahim (28-13U) dan P.Arumugam (28-18U),” kata kenyataan itu hari ini.
DBKL bagaimanapun mengesahkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat kejadian itu dan Bahagian Penyelenggaraan Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL akan membuat bancian ke atas unit-unit terjejas.
Menurut kenyataan itu, banci tersebut bagi mengenal pasti tahap kerosakan seperti dinding bilik yang di perbuat daripada kayu terutamanya unit–unit tepi perumahan awam tersebut.
Mynewshub.cc hari ini menyiarkan gambar keadaan rumah flat di Jalan Loke Yew di sini yang dindingnya tercabut dalam kejadian ribut semalam. – mynewshub.cc


