Monday, April 29, 2024

Creating liberating content

Fon Kepala Canggih Bersihkan...

WASHINGTON - Sebuah syarikat berpangkalan di Seattle telah mencipta headphone istimewa yang boleh...

PKR Guna Taktik Raih...

KUALA LUMPUR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggunakan taktik meraih simpati pengundi ke...

Pelajar Bukan Orang Gaji...

ADA seorang sahabat saya yang bertugas selaku pensyarah di universiti tempatan jika sesekali berjumpa...

Usul Undi Tak Percaya...

SELEPAS malu besar apabila gagal ‘menumbangkan’ kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi perhimpunan haram...

Pengembaraan Menaiki Belon Panas Di Cappadocia

ISTANBUL -Langit yang cerah dengan angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup di Cappadocia pada 17 Sept, 2014 menjadi penanda aras bagi sekumpulan pelancong Malaysia yang dalam lawatan ke Turki untuk menikmati pengembaraan pertama mereka menaiki belon udara panas.

Pada hari itu, cuacanya sangat baik dan paling sesuai untuk menerokai dan menjiwai Cappadocia, yang dikenali sebagai sebuah daripada tempat yang paling sesuai untuk aktiviti belon udara panas.

Daripada 40 anggota rombongan, 14 termasuklah penulis, mengambil langkah berani untuk menikmati pengembaraan di dalam belon udara panas yang dimiliki oleh Kaya Balloons.

Muka bumi daerah Cappadocia di Nevsehir, yang terletak dalam wilayah tengah Anatolia, dipenuhi dengan formasi batu-batuan yang disebut sebagai “fairy chimneys” serta gua-gua dan warisan sejarah yang unik.

Ia sangat terkenal dengan lanskap yang seakan-akan muka bumi bulan yang unik, bandar-bandar bawah tanah, gereja-gereja dan rumah-rumah yang diukir daripada gua-gua di situ.

Rombongan pelancong Malaysia ini dalam rangka lawatan “Istanbul Kami Datang” selama 10 hari di Turki dari 12 Sept sehingga 21 Sept, yang dianjurkan oleh Persatuan Wanita dan Isteri-isteri Kakitangan Bernama (Benita) dan Vreka Travel and Tours Sdn Bhd.

BELON PANAS UNTUK YANG LEMAH SEMANGAT

Pengalaman rombongan dari Malaysia ini juga membuktikan yang belon udara panas ini juga boleh dinaiki oleh mereka yang lemah semangat. Daripada 14 orang yang bersedia untuk menikmati perjalanan dalam belon udara panas, seorang daripadanya mempunyai masalah akrofobia, atau gayat, tetapi bersetuju untuk mencuba pengalaman ini selepas dipujuk oleh pemandu pelancong, Melih Tunali.

Bagi Pengurus Kanan Pusat Kecemerlangan Bernama, Syed Khedher Syed Ismail, idea untuk menaiki belon begitu tinggi di ruang udara, menyebabkan rasa menggelodak seperti gelombang adrenalin menerpa ke dalam tubuhnya.

“Satu malam saya tidak dapat melelapkan mata apabila isteri saya memberitahu yang dia mahu mencuba menaiki belon udara panas. Saya berbelah bahagi, sama ada menyertai keluarga saya atau tinggal sahaja di bilik hotel”, kata Syed Khedher, yang turut membawa anak perempuan tunggal dan anak saudaranya bersama.

Atas pujukan Melih yang berkata: “Apa yang nak ditakutkan, saya sudah lapan kali menaikinya”, Syed Khedher akhirnya bersetuju untuk menyertai kumpulan yang mahu menaiki belon udara panas keesokan harinya.

“Saya berasa sangat gementar pada mulanya, tetapi perlahan-lahan saya dapat mengatasi kegayatan ini terutama selepas melihat budak berusia empat tahun dari sebuah rombongan lain yang dibawa oleh Vreka, turut menyertai kami dan menikmati pengembaraan menaiki belon”.

DETIK-DETIK MANIS

“Menyaksikan lanskap yang cantik dan gunung-ganang dari udara adalah sesuatu yang menakjubkan. Terapung setinggi 700 meter di udara tanpa enjin bersama-sama keluarga adalah detik-detik yang akan saya ingati sampai bila-bila”, ujar Syed Khedher.

Detik-detik manis ini dirakamkan apabila belon yang dinaiki berhenti sebentar selang beberapa jarak di sepanjang perjalanan.

“Apabila belon yang kami naiki berhenti seketika untuk beberapa minit dalam persekitaran yang sangat aman, ketika itulah kami menyaksikan keagungan Sang Pencipta. Subhanallah. Majlis ringkas dan penyampaian sijil setelah mendarat juga sesuatu yang tidak dapat dilupakan”, kata Syed Khedher.

Pada waktu pagi sebelum berlepas menaiki belon, kakitangan Kaya Balloons mengambil anggota rombongan di hotel sebelum subuh dan menuju ke pejabat tapak Kaya Balloons di bandar Gerome bagi menikmati bufet sarapan yang ringkas. Sebaik habis sarapan, rombongan ini menuju ke tapak pelepasan dan menghabiskan masa kira-kira 20 minit menyaksikan proses mengisi udara panas ke dalam belon.

Pemandangan banyaknya belon-belon udara panas bersiap sedia untuk berlepas juga satu pemandangan yang mengagumkan.
    
PEMANDANGAN LUAR BIASA

Kumpulan ini, termasuk presiden Benita Rohana Mustaffa, menyertai lima yang lain – sepasang suami isteri (dari rombongan lain yang dibawa Vreka) bersama-sama anak perempuan mereka berusia empat tahun, Dina dan pasangan pelancong asing.

Mereka menaiki bakul belon itu ketika matahari mula menampakkan wajah. Pemanas ditarik bagi menghidupkan api dan menolak udara panas ke dalam belon yang kemudian melonjakkan belon ke udara.

Sebaik sahaja berlepas, mereka yang menaiki belon udara panas ini seolah-olah terpukau dan mulai selesa semasa belon ini terapung-apung di
sepanjang keindahan pemandangan yang magis. Rombongan ini tidak sedar yang belon mereka telah berlepas dan menyertai belon lain yang bentuknya seperti titisan air mata yang terbalik membayangi ruang udara.

Penerbangan menaiki belon udara itu aman dan lancar, walaupun ketika berada di altitud yang tinggi, hasil kepakaran juruterbang Kaya Balloons, Ersin Has yang berjaya mengendalikan belon tersebut melalui pergunungan di Cappadocia.

Dengan berhati-hati, Ersin mengendalikan belon itu untuk terbang rendah ke Lembah Cinta, mengelilingi batu-batuan berbentuk aneh dan ada ketikanya belon itu dibiarkan terapung-apung hanya beberapa meter dari tanah. Di sinilah tiang-tiang batu yang kelihatan seolah-olah seperti cendawan, kon dan piramid dapat dilihat, yang terbentuk secara semulajadi disebabkan hakisan batu-batuan
gunung berapi.


Terapung-apung setinggi 2,296 kaki (700 meter) di udara, mendekati awan gemawan, terasa tenteram dan aman sementara di bawahnya bumi perlahan-lahan meninggalkan belon dan berputar-putar.

BELON DIBAWA ANGIN

“Setakat ini sahaja kita boleh pergi kerana belon ini mengikut angin. Kita hanya boleh naik setinggi 700 meter”, kata Ersin.

Belon tidak boleh dipandu secara langsung memandangkan ia mengikut tiupan angin. Juruterbang akan menggunakan arah angin yang pelbagai pada altitud yang berbeza-beza untuk mengendalikan belon semasa penerbangan belon udara panas ini.

Ersin bukan sahaja seorang juruterbang yang berkeyakinan dan selamat, beliau juga sangat menghiburkan. Walaupun semasa penerbangan beliau berlawak jenaka, beliau tetap mampu menumpukan perhatian terhadap belon berkenaan.

Bakul yang membawa penumpang dibahagikan kepada empat bahagian, setiap satu bahagiannya boleh memuatkan sehingga enam orang. Ersin berada di bahagian tengah bagi mengemudi belon.

Dalam kalangan rombongan ini, Hazlinda Hamzah, seorang penerbit dokumentari Bernama TV, “1001 Destinasi: Malaysiaku”, bertubi-tubi bertanyakan soalan kepada Ersin, termasuklah mengapa Ersin menyalakan pemanas belon itu.

“Saja suka-suka”, jawab Ersin berjenaka. Beliau kemudian menjelaskan yang beliau perlu menyalakan pemanas itu mengikut selang masanya di sepanjang penerbangan bagi memastikan belon dalam keadaan stabil.

BELON YANG BERWARNA-WARNI

Semua penumpang berasa selesa dalam bakul anyaman mereka semasa Ersin mengemudinya perlahan-lahan melintasi dan menyeberangi formasi-formasi batu dan kemudian terapung-apung di atas gaung yang beralun.

Pada satu ketika, beberapa orang penumpang cuba memecahkan kesunyian dengan bertanya “Awak ok, Syed?” yang ketika itu kelihatan terpesona dengan panorama Cappadocia yang menakjubkan. Syed Khedher melemparkan senyuman sambil mengangkat tangan bagi memberikan isyarat ok.

Sesetengah penumpang pula kelihatan lebih teruja menyaksikan belon-belon yang pelbagai warna yang memenuhi ruang udara dengan muka bumi yang dipenuhi batu-batuan yang cantik dengan bentuk yang aneh dan ada yang lebih teruja kerana dapat terapung 700 meter dari tanah di dalam sebuah belon.

“Injap Payung Terjun” yang terletak di bahagian paling atas belon tersebut digunakan bagi membawa belon turun. Juruterbang akan menariknya jika beliau mahu menurunkan belon itu. Penyejukan udara ini menyebabkan belon memperlahankan kadar penurunannya.

Ersin telah memaklumkan kakitangan di darat mengenai lokasi pendaratan rombongan ini. Beliau dengan mahir dan berhati-hati merendahkan bakul balik ke belakang treler.

Ia adalah penerbangan selama sejam yang lancar dan berjaya. Ersin menyerahkan sijil kepada 19 penumpang. Dina yang berusia empat tahun dan Syed Khedher mendapat tepukan paling gemuruh.

TUMPUAN PENGELUAR FILEM

Cappadocia, atau Kapadokya dalam bahasa Turki, juga dikenali sebagai “Dunia Yang Hilang” dan “Bumi Lanskap Bulan”. Keajaiban semulajadinya menjadi tarikan kepada penerbit televisyen dan filem termasuk dari Malaysia.

Selain daripada filem-filem Turki, filem yang dibintangi oleh bintang filem Perancis Jean Reno bertajuk “Empire of the Wolves” dan “Ghost Rider II” lakonan pelakon dan penerbit filem Amerika Nicolas Cage adalah antara filem terkenal yang dirakamkan di Cappadocia.

Dikatakan bahawa pemandangan lanskap Cappadocia yang kelihatan seolah-olah muka bumi planet makhluk asing memberikan ilham kepada pengarah dan produser filem Amerika George Lucas untuk mencipta planet padang pasir Tatooine bagi filem epik “Star Wars Episode IV: A New Hope”. Bagaimanapun, filem ini tidak dirakamkan di Cappadocia.

Astro akan menayangkan filem arahan pengarah Malaysia Bernard Chauly bertajuk “Manisnya Cinta di Cappadocia” pada 11 Dis di Malaysia. Filem ini berkisar mengenai seorang wanita muda yang ideal untuk cinta dan perkahwinan diuji apabila beliau tersepit antara lelaki yang dicintainya dengan lelaki yang dipilih oleh ibu bapanya.

Sebahagian daripada filem ini dirakamkan di daerah bersejarah negara Turki ini. Sebelum ini filem beliau “Istanbul Aku Datang!” juga dirakamkan di Turki dan berjaya mengaut sebanyak RM3.6 juta di Malaysia.  – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori