Entah di mana silapnya, hubungan antara pengarah prolifik, Mamat Khalid dan pelakon komedi, Usop Wilcha tiba-tiba dikatakan bermasalah.
Memetik laporan sebuah akhbar tempatan, hubungan mereka dikatakan berdepan masalah apabila Mamat Khalid dikhabarkan mengubah skrip bagi filem terbitan dan lakonan Usop Wilcha yang diberi nama Usop Wilcha Menghonjang Makhluk-Makhluk Muzium.
Memetik laporan Harian Metro, Mamat Khalid mengakui terkejut dengan gosip tersebut kerana jika mereka mempunyai masalah, dia sepatutnya menjadi orang pertama yang mendapat tahu.
Tambah Mamat lagi, jika Usop Wilcha menghadapi ketidakpuasan hati dengannya, sepatutnya ianya diselesaikan secara personal dan bukan dengan memperbesarkan isu itu kepada pihak ketiga.
Walau bagaimanapun, Mamat Khalid berkata, beliau ada berjumpa Usop Wilcha untuk urusan suntingan filem berkenaan baru-baru ini dan hubungan mereka tidak seperti yang digembar-gemburkan.
“Saya tak mahu lagi panjangkan isu ini. Saya halalkan sahaja apa dakwaan dia terhadap saya sebelum ini,” ungkapnya kepada Harian Metro.
Ya, mungkin sahaja hubungan mereka tidak seperti yang dikhabarkan dan ia disebarkan oleh pihak yang iri hati dengan kejayaan yang dimiliki Mamat Khalid dan Usop Wilcha. – MYNEWSHUB
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR