Kerajaan Malaysia akan terus bertekad untuk meneruskan agenda transformasi negara, yang memerlukan komitmen dan kesediaan untuk melakukan pengorbanan yang tinggi.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat komitmen itu dalam perutusan khas sempena Hari Raya Aidil Adha yang bakal disambut esok oleh semua umat Islam di Malaysia, di blognya www.najibrazak.com hari ini.
“Sebagaimana yang saya ikrarkan di dalam debat umum pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-69 di New York baru-baru ini, Malaysia akan terus berpegang erat dengan pendekatan kesederhanaan sebagaimana yang digariskan di dalam agama Islam,” katanya.
Menurut Najib, kerajaan juga bersedia pada masa sama untuk berkorban masa dan jiwa bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran dikecapi akan terus dipertahankan.
“Perlembagaan negara serta kedaulatan raja-raja akan kekal menjadi jatidiri bangsa Malaysia. Pengkhianatan mahupun pencerobohan daripada sesiapapun ke atas kedaulatan ini akan kita tentang dengan tegas dan tuntas,” kata beliau.
Beliau berkata sempena dengan perayaan Aidil Adha pada tahun ini yang diikoni oleh dua ibadah besar iaitu ibadah haji dan ibadah sembelihan korban, intisari kedua-duanya ialah sifat dan semangat pengorbanan demi mencari redha Alah dan meninggikan syiar serta syariat agama Allah.
“Pengorbanan ini, melangkaui dimensi material dan jasadi, malahan ia merangkumi sama aspek jiwa-rohani kita sebagai hamba.
“Demikianlah kita mengiktibari semangat pengorbanan silam, untuk kita garap dalam perjuangan kita memakmurkan negara yang tercinta ini dengan berteraskan keadilan dan keharmonian,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata tiga rencah utama wasatiyyah (kesederhanaan) iaitu keadilan, seimbang dan cemerlang tetap kekal menjadi nilai dalam membangunkan negara Malaysia.
“Kita akan terus beriltizam untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang progresif, maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 nanti,” ujar beliau.
Najib turut mendoakan kepada jemaah haji Malaysia yang berada di Tanah Suci Makkah agar mereka selamat menunaikan ibadah haji dan mendapat Haji Akbar yang mabrur.
“Manakala kepada yang berada di tanah air, marilah kita hiasi hari raya ini dengan takbir dan tahmid, sama-sama melaksanakan solat Aidil Adha serta melakukan ibadah korban.
“Semoga sembelihan korban kita ini benar-benar diterima oleh Allah SWT serta meneguhkan lagi takwa kita,” katanya. – MYNEWSHUB
