KUANTAN – Sebanyak 2,905 unit cakera padat (CD) yang memuatkan pelbagai filem dan lagu tempatan dan antarabangsa berjaya dirampas oleh penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang dalam serbuan di sebuah pusat membeli belah di sini, semalam.
Pengarah KPDNKK Negeri, Sharuddin Jali berkata, rampasan dilakukan oleh enam pegawai KPDNKK yang mula melakukan serbuan pada 2.30 petang di dua buah premis perniagaan di pusat membeli belah tersebut.
“Keseluruhan rampasan CD berkenaan dibuat berikutan tidak mempunyai label cakera optik yang sah (bagi membuktikan CD berkenaan adalah asli) dengan nilai dianggarkan RM14,525,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Bagaimanapun katanya, tiada penahanan individu dibuat selepas dipercayai pemilik dan penjual di dua premis berkenaan melarikan diri.
Katanya, kes berkenaan akan disiasat di bawah Perintah Perihal Dagangan Cakera Optik 2010 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua bagi individu.
Manakala bagi syarikat pula katanya, boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 atau enam tahun penjara atau kedua-dua sekali.
Sementara itu, sepanjang Januari hingga sekarang KPDNKK Pahang telah berjaya menyita pelbagai cakera padat dengan nilai rampasan lebih RM250,000 dalam 69 kes di seluruh negeri ini. – BERNAMA