KUALA LUMPUR – IKEA membuat keputusan menarik balik produk pasta berbentuk elk, PASTAÄLGAR yang dijual di kedai khas makanan Sweden pusat beli belah tersebut.
IKEA dalam satu kenyataan memberitahu, langkah itu dibuat kerana analisis mendapati produk berkenaan mengandungi soya tetapi tidak tertera pada label produk itu.
“Analisis menunjukkan terdapat soya yang tidak tertera pada produk ini. Soya merupakan sejenis alergen dan seseorang yang alergik terhadap soya boleh mengalami tindak balas alergik jika termakan produk tersebut.
“Produk ini bagaimanapun selamat untuk sesiapa sahaja yang tidak alergik atau sensitif terhadap soya,” kata kenyataan itu hari ini.
Sehubungan itu, IKEA meminta orang ramai yang alergik kepada soya tetapi terbeli produk itu di premis IKEA mendapatkan bayaran balik di Gedung IKEA.
“Untuk maklumat lanjut sila hubungi Perhubungan Pelanggan IKEA di talian 03-7726 7777. Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku,” kata kenyataan itu. – mynewshub.cc

