MANCHESTER – Louis van Gaal percaya kerjaya Radamel Falcao dalam Liga Perdana Inggeris sudah bermula selepas bintang Colombia itu berjaya mendapat gol pertama untuk Manchester United ketika menewaskan Everton, semalam.
Falcao gagal dalam tiga perlawanan pertama di England tetapi tampil meledakkan gol kemenangan ketika The Reds menang 2-1 di Old Trafford.
Penyerang berusia 28 tahun itu juga terlepas beberapa peluang sebelum itu dan Van Gaal mendedahkan bahawa dia sudah bercakap dengan Falcao mengenai sikap terlalu gigih olehnya untuk mendapatkan gol.
“Dia amat memerlukan gol ini,” kata bos United itu.
“Saya sudah berbual dengannya kerana saya beranggapan dia terlalu memaksa dirinya untuk menjaringkan gol.
“Lazimnya, dia adalah seorang pemain yang menjaringkan gol pada setiap perlawanan dan terpaksa menunggu lama mendapatkan satu.
“Saya faham..tapi kini dia sudah menjaringkan gol dan ini sesuatu yang bagus selepas rehat bagi perlawanan antarabangsa nanti.”
Kemenangan ini melonjakkan United ke tangga keempat tetapi Van Gaal mengakui pasukannya belum bermain kapasiti penuh lagi selepas berbelanja lebih STG150 juta (RM750 juta) musim panas ini. – Mail Online