MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini percaya Sergio Aguero berhak dicalonkan merebut anugerah Ballon d’Or atau Pemain Terbaik Dunia FIFA jika dia kekal beraksi tanpa kecederaan musim ini.
Penyerang Argentina berusia 26 tahun itu meledak empat gol dengan dua daripadanya jaringan penalti ketika aksi Liga Perdana Inggeris yang membenam Tottenham 4-1 di Eastlands, malam tadi.
Ia sekali gus menyaksikan City di tempat kedua dengan hanya lima mata dipisahkan oleh pendahulu liga, Chelsea.
Prestasi Aguero itu disaksikan sendiri oleh bekas pemerintah diraja Sepanyol, Juan Carlos, yang diundang khas oleh pengerusi The Blues, Khaldoon al Mubarak.
Ia juga menyaksikan Aguero sebagai penjaring utama City dalam kempen Liga Perdana Inggeris dengan 61 gol daripada 95 penampilan sejak pembeliannya dari Atletico Madrid pada 2011 yang bernilai 38 juta pound (AS$61 juta).
Musim lalu, Aguero ditimpa malang apabila hampir sepanjang musim bergelumang dengan kecederaan dengan hanya meledak 20 gol dalam 38 permainan liga.
Namun Pellegrini percaya sekiranya Aguero kekal dengan keadaannya sekarang, dia mempunyai peluang cerah untuk menjadi pemain bola sepak terbaik dunia.
“Saya bukan bercakap kerana dia menyumbat empat gol (menentang Tottenham). Saya tidaklah menjangkakan dia akan meledak empat gol setiap kali perlawanan. Saya kenalinya banyak tahun, saya ikuti kerjayanya di Argentina, Sepanyol dan kini di England sebaba itu saya boleh mengatakan dia antara penyerang penting di dunia,” kata Pellegrini. – AFP

