TUMPAT  – Tidak pernah terlintas di minda Mat Razi Mat Ail, 48, untuk menjadi calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) kerana selama ini beliau lebih komited dalam urusan membantu ADUN sebelum ini, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar.
Menurut beliau, Allahyarham Noor Zahidi merupakan seorang ADUN yang  gagah dalam menjalankan tugas.
Beliau mengakui menerima kematian Noor Zahidi sebagai satu kejutan bagi dirinya.
“Tidak ada dalam minda untuk menggantikan Allahyarham tetapi semua itu adalah perancangan, kita merancang Allah SWT yang menentukan, jadi kalau dah ditetapkan oleh Allah SWT kita dipilih sebagai calon, saya terimalah.
“Yang penting kita boleh berbakti kepada rakyat dan saya sudah biasa dengan pertolongan, Allahyarham sebelum ini biar bagaimana sibuk pun, Allahyarham sentiasa berpeluang bersama saya untuk meneliti program untuk dibuat dalam kawasan DUN ini kerana saya merupakan seorang Penolong Pegawai Pelajaran Daerah,” katanya kepada Mynewshub.cc.
Beliau berkata Allahyarham memberi kepercayaan sepenuhnya kepada beliau untuk menguruskan soal bantuan anak-anak yatim dan bantuan pelajar-pelajar miskin.
“Jika ada perkara berkaitan anak yatim, dia (Allahyarham) akan serah kepada saya, dia yakin saya tidak ada penipuan apa-apa,” katanya.
Beliau ditemui Mynewshub.cc ketika membuat lawatan ke rumah-rumah pengundi di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan pada 25 September ini.
Pagi tadi, Mat Razi berada di sekitar Kampung Bunohan menziarahi penduduk dan turut menziarahi orang-orang sakit yang berada dalam kawasan DUN berkenaan.
http://youtu.be/4vbhTaMctm0
Mat Razi bakal berdepan calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim, dan calon bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary untuk mempertahankan kerusi berkenaan di tangan BN. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IBNU K | Foto dan Video : RIZA RAZAK