TUMPAT – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memuji semua parti-parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor kerana mematuhi semua arahan suruhanjaya itu.
Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata kempen PRK itu sejak 13 Sept berlangsung secara aman walaupun berlaku beberapa masalah kecil yang dapat diselesaikan dengan baik.
“Alhamdulillah, nampaknya semua parti-parti yang bertanding patuh dengan (arahan) SPR, dengan itu saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang beri kerjasama kepada SPR untuk menjaga keamanan sepanjang kempen.
“Jadi, secara keseluruhan sehingga petang ini, saya dimaklumkan bahawa proses kempen yang berjalan di sini begitu aman,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual dengan TV1 Radio Televisyen Malaysia di sini, hari ini.
Abdul Aziz berkata sehingga petang ini, SPR hanya menerima tiga laporan daripada polis berkaitan poster yang dipasang tidak teratur dan papan tanda gergasi yang melanggar undang-undang.
“Semua masalah itu dapat diselesaikan dengan baik oleh parti-parti bertanding,” katanya.
Beliau berkata calon-calon yang bertanding juga menghormati lawan mereka dengan tidak mengeluarkan perkataan dan tuduhan yang sangat melampau.
“Jadi, saya berharap calon bertanding dengan penyokong terus menghormati undang-undang dan peraturan etika yang berkaitan dengan kempen,” katanya.
Beliau berkata SPR menjangkakan keputusan PRK diketahui selewat-lewatnya 9 malam pada Khamis ini.
Semua 11 pusat mengundi berdekatan satu sama lain termasuk pusat penjumlahan undi di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Bijiwangsa.
Abdul Aziz juga meminta para pengundi Pengkalan Kubor itu supaya membuat semakan untuk mengetahui pusat dan saluran mengundi masing-masing.
PRK itu diadakan berikutan kematian Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas.
Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary. – BERNAMA

