KESIAN dengan Datuk Siti Nurhaliza apabila namanya tak pasal-pasal terpalit sama dengan kontroversi yang membabitkan Shila Amzah.
Ini semua gara-gara komen peminat fanatik Shila yang mengaitkan kononnya Siti ‘membeli’ hati wartawan-wartawan hiburan tempatan dengan pemberian hadiah kepada mereka.
Nampaknya Siti tidak berdiam diri dengan dakwaan tersebut apabila membalas tuduhan yang langsung tidak berasas itu.
Selain itu, Siti turut menasihati Shila di atas kapasiti sebagai artis senior, agar sentiasa berfikir panjang dalam setiap apa tindakan yang diambilnya demi kelangsungan kariernya.
“Siti sebagai kakak kepadanya di dalam industri, dia perlu sentiasa berfikir panjang dulu dengan sebarang tindakan yang dibuat. Artis dan media saling memerlukan. Mungkin apa yang berlaku ini, dia terlepas pandang. Kalau bukan dia yang tulis kenyataan sebegitu atau ada orang lain menulis pun, kena banyak kali fikir sebelum memuat naik sesuatu di laman sosial. Hal ini membabitkan artis dan media. Di mana dia bermula pun dengan bantuan rakan media,” katanya dipetik menerusi Berita Harian.
Ha, dengar tu Shila, seelok-eloknya ambil sekejap masa sebelum memuat naik apa-apa dahulu di mana-mana laman sosial. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. – MYNEWSHUB.CC
p/s: dengarnya sidang media untuk menjelaskan kontroversi yang melanda Shila akan diadakan Rabu ini. Tak tahulah pihak media pergi ke tak ataupun mereka akan memboikot pc tersebut. Oppss…
Oleh: AUDREY LEE

