PULAU AMBRYM – Ingin mengetahui bagaimana rupa sebenar lava gunung berapi dari dekat? Kini anda boleh melihatnya sendiri tanpa perlu membahayakan diri untuk mendekatinya melalui rakaman selfie dan video.
Ia adalah hasil usaha dua penjelajah Sam Crossman dan George Kourounis yang merakamkan `hot selfie’ di gunung berapi Marum di Vanuatu.
Marum merupakan gunung berapi yang aktif. Oleh itu Crossman dan Kourounis terpaksa menggunakan jaket perlindungan khas yang dapat menahan panas lava tersebut.
Mereka turun hingga ke jarak 1,200 kaki ke dalam gunung dan berdepan hujan serta kepanasan lava demi merakamkan video kawah itu dari dekat.
“Ia hanya lima tempat di dunia yang mempunyai lautan lava yang berterusan.
“Ia umpama mendaki Everest,’’ kata Kourounis dalam blognya mengenai pengalaman penerokaan mereka itu.
Jelasnya, mereka terpaksa berdepan dengan kepanasan lava, hujan asid yang amat kuat, sama seperti air bateri kereta dan pelbagai kegilaan lain.
Malah tempias lava itu juga menyebabkan jaket khas Kouronis berlubang, tetapi mujurlah mereka terselamat.
“Lava itu juga mencairkan salah satu kamera saya dan jaket perlindungan khas yang saya pakai juga rosak akibat hujan asid,’’ katanya.