KUALA LUMPUR – Kerajaan Pulau Pinang bersetuju menawarkan rebat 35 peratus untuk tarif bekalan air di kawasan pembinaan walaupun ia akan mengurangkan perolehan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP).
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, langkah itu bertujuan memastikan Pulau Pinang dapat menarik projek pembangunan yang menguntungkan dan berterusan untuk memantapkan ekonomi negeri.
“Kemantapan ekonomi sudah tentu akan menguntungkan rakyat Pulau Pinang. Pelaksanaan rebat 35 peratus oleh PBAPP ini akan diberitahu kelak,†katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh PBAPP hari ini.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, PBAPP pada 30 April lalu menghantar cadangan kajian semula tarif air kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Katanya, mengikut cadangan itu, kadar rata tarif bagi “Bekalan Air Sementara – Pembinaan/Pengubahsuaian. akan dinaikkan daripada RM1.52 bagi setiap 1,000 liter kepada RM3.00 setiap 1,000 liter.
Bagaimanapun, katanya, selepas menimbangkan rayuan Persatuan Pembina dan Pembekal Bahan Binaan Pulau Pinang, kerajaan Pulau Pinang bersetuju mengkaji cadangan kadar rata itu kepada RM1.95 setiap 1,000 liter untuk kerja-kerja pembinaan sahaja.
Manakala, bagi kategori pengguna perniagaan lain yang akan dibilkan dengan purata tarif yang lebih rendah iaitu RM1.36 setiap 1,000 liter bagi 500,000 liter yang pertama sebulan.
Beliau mendakwa, kadar Rata RM1.95 setiap 1,000 liter untuk kawasan pembinaan adalah antara yang terendah di negara ini.
Guan Eng dalam pada itu memaklumkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) meluluskan 160 projek di Pulau Pinang bagi separuh tahun pertama 2014.
“Daripada jumlah itu, 25 adalah projek kerajaan dan 135 adalah projek swasta. Dari segi nilai ringgit, unjuran keseluruhan pelaburan berjumlah RM1.985 billion,†katanya.

