TUMPAT (Kelantan) – Bagi warga Kelantan, mungkin sudah biasa tetapi bagi para wartawan yang membuat liputan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor ini, mereka belajar perkataan dialek Kelantan yang baru iaitu ‘Sung’.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya itu, Mat Razi Mat Ail ketika membaca senaskhah penerbitan dari Jabatan Penerangan UMNO tertarik dengan perkataan itu yang digunakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menggambarkan dirinya.
Tajuk akhbar ringkas itu berbunyi “Ustaz Mat Razi Paling Sung” yang mana ia bermaksud ‘paling sesuai’, demikian menurut penjelasan Mat Razi yang juga seorang guru.
Beliau menerangkan kepada para wartawan yang mengikuti rangka lawatan beliau sempena kempen hari ini dan memaklumkan perkataan itu tidak didaftarkan di dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka tetapi ianya boleh digunakan sebagai satu dialek atau loghat.
Akhbar itu diterbitkan secara harian sempena pilihan raya itu yang kini sedang berlangsung dalam tempoh kempen sehingga hari mengundi pada 25 September ini.
Mat Razi dicalonkan BN, yang kemudiannya diputuskan oleh Pengerusinya yang juga Presiden UMNO Najib.
Menurut Najib dalam akhbar berkenaan Mat Razi yang mesra dipanggil Ustaz Mat Razi dalam kalangan penduduk tempatan di Pengkalan Kubor difikirkan paling sesuai menggantikan penyandang Ahli DUN Pengkalan Kubor sebelum ini, Datuk Noor Zahidi Omar yang meninggal dunia pada 20 Ogos lepas.
Pada PRK itu, Mat Razi berhadapan dengan calon PAS, yang juga Penyelia DUN Pengkalan Kubur PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim serta tentangan calon bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, BN menang dengan calon Allahyarham Noor Zahidi menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Saharun Ibrahim dan calon bebas sama dengan majoriti lebih 1,700 undi. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IBNU K | Foto dan Video : RIZA RAZAK