TUMPAT – Kesemua 11 pusat mengundi bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, yang dibuka sejak 8 pagi tadi ditutup pada pukul 5 petang ini.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sehingga pukul 4 petang, sebanyak 72 peratus daripada 23,929 pengundi biasa telah mengundi.
Katanya pengiraan undi akan dilakukan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Biji Wangsa di sini dan keputusan dijangka diumum seawal 9 malam ini.
PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.
PRK itu diadakan ekoran kematian wakil rakyat DUN itu daripada BN Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas.
Pada pilihan raya umum ke13 pada Mei tahun lalu, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi. – BERNAMA

