KITA mesti pernah mengalami situasi di mana ketika kita ingin menjamah masakan tempatan, pasangan kita pula nak bertukar angin mencuba masakan Barat.
Kalau berdepan situasi macam ni, mesti ada salah seorang kena bertolak ansur kan.
Tapi kini anda tak perlu berbuat demikian kerana terdapat sebuah restoran yang menyediakan gabungan masakan Timur dan Barat di bawah satu bumbung!
Berlokasi strategik di kawasan kejiranan di USJ 11, Subang Jaya, Restoran Pizza Vs Satay menawarkan pelbagai jenis sajian yang pastinya mampu membuka selera anda.
Berkonsepkan ‘feel at home’ restoran, Pizza Vs Satay yang diusahakan Safina Arshad bersama suaminya, sejak 16 tahun lalu berjaya mengumpul pelanggan setianya sejak dari dahulu lagi.
Dekorasi premis makanan yang mendapat sentuhan peribadi pemiliknya ini memberikan kesan ‘cozy’ dan selesa untuk bersantai bersama seisi keluarga, rakan-rakan serta orang tersayang.
Antara masakan yang menjadi ‘signature dish’ dan sering mendapat perhatian pengunjung di sini adalah Florentina Pizza, Creamy Cheesy Fish, Set Satay, Grilled Salmon & Hollandaise Sauce, Nasi Goreng Kerabu Ayam Percik dan banyak lagi.
Florentina Pizza, (RM19.00) pizza yang dibakar sempurna mengandungi hirisan daging, lada benggala dan telur mata yang diletakkan di tengah-tengah pizza sekali gus membangkitkan selera kita untuk menjamahnya.
Creamy Chessy Fish (RM19.00) pula menurut Safina sering menjadi pilihan kebanyakan pelanggan wanita yang gemarkan kuah berkrim yang dihidangkan dalam sajian ini yang turut disertakan dengan sayuran segar seperti kobis bunga dan brokoli. Memang terangkat lebih-lebih lagi ikan dori lembut yang digunakan dalam masakan menyelerakan ini! Harus cuba kalau anda ke sini ya.
Selain itu, Grilled Salmon & Hollandaise Sauce (RM24) juga sangat sedap untuk dinikmati lebih-lebih lagi buat anda penggemar salmon. Dihidangkan dengan sos istimewa yang diperbuat daripada jus lemon, kuning telur dan minyak zaitun, serta ‘side dish’ kentang putar, sayuran coleslaw dan puding keladi.
Buat yang lebih menggemari sajian tempatan, usah risau kerana memang tip top masakannya terutama sekali Set Satay (RM9.90) yang mengandungi satay ayam dan daging serta bawang, timun dan nasi impit serta kuah kacang yang pastinya mampu mengecurkan lidah anda tatkala merasainya.
Selain set satay yang turut mendapat permintaan tinggi, Nasi Goreng Kerabu dan Ayam Percik (RM11.90) juga tidak kurang sedapnya! Didatangkan dalam saiz ‘portion’ yang agak besar, memang berbaloi kerana dua orang sekali boleh makan. Memang sedap, trylah!
Tak lengkap hidangan kalau tak disudahkan dengan pemanis mulut, tak perlu risau kerana Pizza Vs Satay turut menawarkan pelbagai seleksi pencuci mulut yang tersendiri dan lazat dinikmati.
Classic Creme Caramel (RM4.90) antara yang menjadi hits dan menurut Safina, dessert ini memang tersangat laris di restorannya kerana keenakan puding caramel yang dihidangkan dengan sirap gula perang yang tidak terdapat di mana-mana kedai lain. Memang ‘totally different’ daripada puding caramel lain yang pernah dicuba penulis, memang sedap dan terbaik!
Selain itu, Petite Sago (RM3.90) juga boleh menjadi pilihan anda jika anda seorang penggemar manisan sago, yang dituang susu agar kemanisannya kekal memikat selera anda!
Jadi untuk pengalaman ‘dining’ yang menyeronokkan, jangan lupa luangkan masa anda untuk berkunjung ke Pizza Vs Satay yang terletak di No 2, Jalan USJ 11/3J USJ11, 47620, Subang Jaya, Selangor. Like juga Facebook mereka di sini
Servis: ****
Makanan: ****
Harga: ****
Pastinya anda akan berpuas hati dengan layanan, masakan serta harga yang ditawarkan kerana semuanya serba berpatutan di sini selain kelainan hidangan yang disajikan buat anda! – MYNEWSHUB.CC











