KUALA LUMPUR – Rakyat disaran menguasai Bahasa Inggeris untuk memperoleh ilmu pengetahuan dengan lebih cepat agar mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan terkini.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed berkata, menguasai Bahasa
Inggeris adalah penting kerana ia merupakan lingua franca yang digunakan dalam pembangunan terkini terutama dalam bidang sains dan matematik.
“Kini segala-galanya berkisar dalam konteks sains kerana semua jurnal mengenai perkembangan sains dan kajian adalah dalam Bahasa Inggeris.
“Justeru sekiranya kita mahu maju dan setanding dengan dunia maju, kita mesti mengusai Bahasa Inggeris serta mempunyai pengetahuan lengkap tentang sains dan matematik,” katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Malaysia – Afrika 2014 di sini hari ini.
Beliau turut menekankan tentang kepentingan memahami ilmu kerana ia berkembang secara pesat dan progresif dalam dunia akademik. – BERNAMA

