KUALA TERENGGANU – Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) akan berbincang dengan kerajaan negeri Terengganu untuk penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di negeri itu termasuk keperluan pembinaan loji baharu bagi menampung keperluan pengguna.
Timbalan Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata beliau yang melakukan lawatan kerja selama dua hari di Terengganu akan memastikan perkara itu dilaksanakan dengan situasi menang-menang antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri tanpa mengabaikan keperluan rakyat.
“Berdasarkan taklimat yang disampaikan tadi, kita dimaklumkan Kuala Terengganu dan Marang adalah dua daerah di negeri ini yang bakal menghadapi krisis bekalan air menjelang akhir tahun 2015 jika kerja-kerja menaik taraf atau membina loji baharu gagal disegerakan.
“Ini kerana pertambahan penduduk akibat pertumbuhan pantas pusat pengajian tinggi, perumahan dan kawasan perindustrian di dua daerah itu, sedangkan kapasiti bekalan yang dimiliki… pada tahap yang maksimum,” katanya kepada pemberita selepas melawat loji rawatan air Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) di Kepong 2 di sini hari ini.
Taklimat kira-kira 40 minit itu disampaikan oleh Pengurus Pentadbiran dan Korporat SATU, Rosli Latif dan Pengurus Wilayah Tengah SATU, Atemin Sulong.
Sementara itu Rosli berkata pihaknya telah mengambil beberapa pelan tindakan untuk jangka masa pendek bagi mengatasi masalah itu.
“Antara kejayaan SATU ketika ini ialah dapat mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW) daripada 44.3 peratus pada tahun 2010 kepada 33.8 peratus pada Ogos tahun ini.
“Selain itu, bagi kegunaan penduduk sekitar Kuala Nerus, SATU mendapatkan bekalan air sebanyak enam juta liter sehari dari Setiu dan menyiapkan paip baharu dari loji Hulu Terengganu untuk menampung keperluan penduduk di Kampung Batu Hampar dekat Manir,” katanya.
Ketika ini, Kuala Terengganu dan Marang yang mempunyai 125,000 akaun pengguna mendapatkan bekalan air terawat dari tiga loji di sekitar Kuala Terengganu iaitu loji rawatan air Kepong 1, Kepong 2 dan Losong. – BERNAMA