GEORGETOWN – Kerajaan Pulau Pinang digesa mewartakan kawasan Kampung Siam di Pulau Tikus sebagai kampung warisan bagi mengelak penempatan itu dimusnah untuk tujuan pembangunan.
Senator Datuk Boon Som Inong berkata ini kerana kerajaan negeri mempunyai kuasa mutlak dalam hal ehwal tanah, dan Ketua Menteri Lim Guan Eng juga perlu memainkan peranan bagi menyelamatkan kampung itu.
“Kalau mengikut perundangan, memang penduduk kampung itu bakal kehilangan rumah mereka tetapi kuasa Ketua Menteri sahaja yang boleh menyelesaikan isu yang melanda penduduk. Saya juga cadangkan masalah itu dibawa ke mesyuarat exco bagi mencari penyelesaian.
“Bukan setakat Pulau Pinang, malah negara turut kerugian besar sekiranya perkampungan warisan itu dimusnahkan dan akan hilanglah warisan kebudayaan masyarakat Siam di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kampung Siam hari ini.
Turut hadir Senator Datuk Ng Chiang Chin, yang juga Pengerusi Gerakan Kelantan, Presiden Persatuan Siam Malaysia Osot Prayun dan Naib Presiden Parti Cinta Malaysia Datuk Huan Cheng Guan.
Boon berkata selain mewartakan Kampun Siam sebagai perkampungan warisan, kerajaan negeri juga harus memperjuang pampasan setimpal kepada penduduk jika mereka diusir.
Beliau berkata tawaran pampasan bernilai RM30,000 yang akan diberi pemaju kepada penduduk terbabit langsung tidak setimpal untuk mereka meneruskan hidup di Pulau Pinang.
“Rumah apa yang boleh dibeli dengan harga RM30,000? Adakah kerajaan negeri sanggup melihat mereka tinggal di tepi jalan sahaja selepas ini?
“Sekiranya kampung warisan ini tidak dapat diselamatkan lagi, saya berharap penduduk di sini diberikan pampasan setimpal seperti rumah ganti yang bersesuaian seperti yang dilakukan kepada penduduk Kampung Buah Pala sebelum ini,” katanya.
Rabu lepas, sekumpulan penduduk Kampung Siam meminta kerajaan Pulau Pinang agar tidak meluluskan cadangan untuk mendirikan hotel di kawasan itu, yang menyebabkan mereka terpaksa berpindah.
Wakil kumpulan berkenaan, Boon Leua Aroomratana, 56, berkata 50 penduduk telahpun menerima surat daripada syarikat yang ingin mendirikan hotel itu April lepas, yang meminta mereka berpindah. – BERNAMA

