KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Loke Siew Fook mahu Parti Keadilan Rakyat (PKR) membalas semangat setiakawan yang ditunjukkan DAP dalam berhadapan isu jawatan Menteri Besar Selangor.
Beliau berkata, semangat kesetiakawanan DAP itu perlu dibalas dengan memberi DAP peranan yang lebih besar dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor di semua peringkat.
“Konsistensi pendirian DAP dalam isu Menteri Besar Selangor dan kesetiaan kami terhadap konsensus bahawa jawatan itu perlu dalam kalangan calon PKR perlu diambil maklum oleh rakan-rakan daripada PKR.
“Kesetiakawanan ini perlu dibalas dengan peranan yang lebih besar dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor. Perkongsian kuasa yang adil di Selangor dapat membantu kami di Negeri Sembilan,†katanya dalam teks ucapan beliau bersempena Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan 2014 yang diedarkan oleh DAP kepada media hari ini.
Siew Fook berkata, peranan yang lebih besar DAP dalam pentadbiran kerajaan Selangor juga menunjukkan semua parti komponen pakatan pembangkang berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.
Beliau dalam pada itu mengakui harapan dan kepercayaan rakyat terhadap pakatan pembangkang hampir musnah akibat krisis jawatan Menteri Besar Selangor tersebut.
Beliau mendakwa, isu itu memberi kesan yang sangat negatif kepada parti-parti dalam gabungan pakatan pembangkang di seluruh negara termasuk Negeri Sembilan.
“Harapan dan kepercayaan rakyat terhadap Pakatan Rakyat hampir-hampir dimusnahkan oleh kemelut tersebut.
“Pelantikan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu diharap dapat menutup tirai krisis tersebut,†katanya.