GEORGETOWN – “Terima kasih semua…saya lega abu Sanjit telah pulang ke rumah”.
Itu ungkapan Jijar Singh, 71, bapa kepada pramugara Malaysia Airlines (MAS) MH17 Sanjid Singh Sandhu kepada pemberita selepas abu mayat anaknya itu tiba di kediaman mereka di Kampung Selamat Alma di sini, hari ini.
Abu mendiang Sanjid antara sembilan jenazah mangsa tragedi MH17 yang tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), pada 8.30 pagi tadi.
Abu mendiang kemudian diterbangkan ke Bukit Mertajam untuk dibawa ke rumah bapanya di Kampung Selamat Alma di sini, selepas dibawa ke kediaman keluarga isterinya di Taman Skyline, Jalan Klang Lama di Kuala Lumpur.
Terdahulu, ketibaan bekas abu mayat Sanjid yang diliputi Jalur Gemilang di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Machang Bubok di sini disambut dengan istiadat penghormatan.
Mengiringi abu mayat pramugara itu dari Kuala Lumpur ialah isteri mendiang Tan Nee Gok, 43, dan anak tunggal pasangan itu Hans Singh Sandhu, 10.
Abu mayat mendiang akan disemadikan esok.
Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh di timur Ukraine, pada 17 Julai.
Sebanyak 43 warga Malaysia berada di dalam pesawat Boeing 777-200 itu dan setakat ini, 32 jenazah mangsa tragedi warga Malaysia telah dikenal pasti dengan 31 daripadanya telah dibawa pulang ke Malaysia. – BERNAMA

