Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali hari ini menjadi buah mulut hebat untuk dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.
Pelbagai agensi dan portal media melaporkan perkara berkenaan termasuk media arus perdana.
Semalam, Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani mengesahkan pengedaran kad jemputan untuk menghadiri istiadar angkat sumpah Menteri Besar baru yang akan diadakan Selasa ini.
Apabila ditanyakan mengenai Azmin, beliau enggan mengesahkan perkara itu.
Bagi Azmin pula, dikatakan sejak namanya mula terpacul keluar dari beberapa mulut sumber dalaman PKR, dia dikatakan menghilangkan diri dan gagal dihubungi media untuk mendapatkan ulasan berkenaan pelantikan berkenaan.
Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa dicalonkan namanya oleh PAS yang diumumkan selepas satu mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat sebelum ini.
Pada ketika itu PAS menghantar dua nama iaitu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah dan Azmin.
Dengar ceritanya lagi, nama Azmin akan diumumkan sebagai Menteri Besar Selangor yang baru pada pukul 10 pagi ini, menurut sumber.
Difahamkan ada cakap-cakap jika pihak Istana Selangor memilih Menteri Besar dalam kalangan ADUN PAS, ada kemungkinan kerajaan negeri Selangor akan menghadapi masalah ekoran keengganan DAP dan PKR bekerjasama dalam soal pentadbiran.
Kemungkinan atas dasar itu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tetap memilih wakil PKR sebagai Menteri Besar bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang telah hilang sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri Selangor. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IBNU K