Kes orang menggunakan nama menteri untuk meraih kepercayaan orang bukan kisah baru.
Bagaimana pun tak dinafikan ada juga mereka yang bekerja dengan menteri tetapi menipu orang. Penyudahnya nama majikannya juga yang tercemar.
Baru-baru ini seorang pemilik rumah mendedahkan di sebuah forum, dia telah dianiaya seseorang yang mendakwa dirinya pegawai khas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Haji Ahmad Maslan apabila sewa rumah bukan saja tak dibayar malah ditinggalkan dalam keadaan teruk.
Pemilik rumah turut menyertakan kad nama individu berkenaan yang menggunakan logo Kementerian Kewangan selain menyebarkan gambar isterinya, alamat dan salinan lesen perniagaan.
Apa yang membuatkan pemilik rumah bengang adalah panggilan telefon tidak lagi dijawab walau berdering.
Sebelum ini individu berkenaan dikatakan memberitahu dia berada di Kuala Lumpur kerana menjaga bapanya yang sakit kanser dan mahu berpindah kerana rumah dimasuki pencuri.
Namun selepas tuan rumah datang meninjau didapati rumah sudah lama terbiar dengan semak samun dan rosak teruk.
Jiran-jiran pula dikatakan memberitahu penyewa rumahnya itu seorang penipu dan sudah ‘kapur’ duit ramai orang di taman tersebut.
Bil elektrik, air dan pembentungan tidak dijelaskan manakala perabot yang terdapat dalam rumah turut lesap.
Manakala di atas meja, tercatuk botol minuman keras.
Apa pun diharapkan kes ini dapat diselesaikan secara baik.
Pemilik rumah mungkin cuma mahukan sewa rumah, bil tertunggak dan kerosakan yang berlaku dibayar ganti rugi namun kami rasa tindakan terbaik adalah membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk diselesaikan bukan menyebarkan maklumat peribadi orang seperti ini. – MYNEWSHUB.MY
Oleh: REM RAMZI
(Sumber)