Warga Singapura Didakwa Bunuh Isteri, Anak Tiri

AYER KEROH – Seorang lelaki warga Singapura dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh isteri dan anak tirinya yang mayat kedua-dua beranak itu ditemui dikerat lapan, di kawasan semak di Kampung Ladang, Krubong, pada 10 Oktober lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan terhadap tertuduh, Shahrul Nizam Zuraimy, 31, sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Tertuduh yang memakai baju-T hitam, seluar denim dan berkaki ayam dilihat hanya mendiamkan diri dan sekadar mengangguk sebagai tanda faham sepanjang prosiding pendakwaan dibacakan bermula jam 9.24 pagi.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Norfazera Bidin, 27, antara jam 9 malam 6 Oktober lalu hingga jam 1 pagi, 7 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Iman Ashraf Abdullah, 11, antara jam 9 malam 6 Oktober lalu hingga jam 1 pagi, 7 Oktober lalu.

Kedua-dua pertuduhan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, di sini.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari mencadangkan tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Disember depan untuk sebutan semula kes, sementara menunggu laporan bedah siasat.

Media sebelum ini melaporkan polis mengesahkan bahagian badan yang ditemui dikerat sekurang-kurangnya lapan bahagian dan ditemui berselerakan di Kampung Ladang, Krubong, milik Norfazera dan Muhammad Iman.

Identiti mereka disahkan selepas pihaknya memperoleh keputusan rasmi ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Jenazah dua beranak itu selamat dikebumikan dalam satu liang tengah malam Isnin lalu di Tanah Perkuburan Islam Bertam-Malim.

Susulan kejadian, polis menahan lelaki warga Singapura yang juga suami mangsa, 12 Oktober lalu. – BH Online

Loading...