Warga Emas Ternak Kucing Untuk Dijual Didenda

PADAH… Seorang wanita Singapura berusia 69 tahun didenda S$5,000 (RM15,152) kerana bela kucing untuk dijual tanpa miliki lesen pusat penternakan haiwan peliharaan di republik itu.

Demikian menurut kenyataan Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) merujuk kepada keputusan sebuah mahkamah tempatan semalam yang dipetik oleh stesen penyiaran pemerintah, Channel NewsAsia.

Sebelum itu, kediaman Lo Pia Yong diperiksa sekumpulan pegawai AVA selepas pihak berkuasa mendapat aduan sekitar Jun tahun lalu berkenaan isu kebajikan puluhan kucing yang dibela oleh suspek berkenaan.

Sebanyak 70 ekor kucing yang disimpan secara haram dalam sangkar-sangkar haiwan jinak tersebut berjaya ditemui pihak AVA di rumah dihuni oleh warga emas tersebut di One Tree Hill dekat Grange Road.

“Siasatan dibuat kerana suspek tidak menimbulkan keprihatinan berhubung kebajikan kucing tersebut, bahkan pihak kami dapati Pia Yong salah guna kediamannya untuk ternak kucing bagi tujuan penjualan komersial.

“Suspek disahkan tiada lesen pusat ternakan haiwan,” kata AVA. Sesiapa didapati bersalah urus tempat ternakan haiwan peliharaan tanpa lesen boleh dipenjara sehingga 12 bulan dan didenda sehingga S$10,000 (RM30,300).

AVA menggesa orang awam untuk melaporkan sebarang kes penternakan haiwan peliharaan secara haram di talian hotline 24 jam 1800-576-1600 atau menerusi laman sesawang rasmi AVA. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...