Video: Terlelap, Rempuh Lori Bawa Telur Ayam…

TULAR menerusi media sosial, video sebuah lori muatan telur ‘berpusing’ setelah dilanggar dari arah belakang oleh seorang pemandu kereta.

Insiden yang berlaku kira-kira jam 9.40 pagi di kilometer 115.3 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara itu menyebabkan ribuan telur ayam bertaburan di atas jalan.

Kejadian itu berjaya dirakam menerusi paparan dashcam seorang pemandu lain yang kemudiannya dikongsikan di media sosial termasuk di Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Menerusi video, kereta jenis Hyundai Veloster yang dipandu oleh seorang pemuda berusia 26 tahun itu pada mulanya dilihat terhuyung-hayang di lebuh raya terbabit sebelum menghampiri lori berkenaan yang berada di laluan kiri.

Pemandu itu bagaimanapun cuba memasuki laluan lori berkenaan yang pada masa sama tidak perasan dengan jarak kenderaan masing-masing yang begitu hampir.

Akibatnya, lori berkenaan dihentam oleh pemandu tersebut menyebabkan kedua-dua kenderaan berpusing seketika sebelum merempuh penghadang jalan.

Mujur tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan pemandu lori berusia 55 tahun berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Sungai Petani Kedah bagi mendapatkan rawatan.

Kemalangan itu juga telah menyebabkan laluan trafik di lokasi kejadian sesak sehingga beberapa kilometer -MYNEWSHUB.CC