UMNO Tolak Usaha PH Jual Aset Khazanah, PNB

BANTAH… UMNO menolak sebarang usaha penjualan aset milik sayap pelaburan kerajaan iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Perbadanan Nasional Berhad…

BANTAH… UMNO menolak sebarang usaha penjualan aset milik sayap pelaburan kerajaan iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Perbadanan Nasional Berhad (PNB).

Perkara tersebut ditegaskan oleh presiden parti berkenaan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran terkini dalam akaun sosial Twitter beliau pada tengah hari ini.

“UMNO menolak usaha penjualan aset Khazanah dan PNB. Malahan PNB merupakan agensi amanah bumiputera di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera.

“Justeru, sebarang penjualan untuk melepaskan hak pemegangan ekuiti akan jejaskan peratusan ekuiti portfolio untuk skim-skim saham amanah di bawahnya,” kata Ahmad Zahid.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua kelmarin yang memberitahu, Khazanah dan PNB dijangka cair beberapa aset tidak strategik sebagai sebahagian langkah penjimatan kerajaan.

Namun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak persoal langkah yang diambil kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi kurangkan hutang negara menerusi penjualan aset dan saham Khazanah dan PNB.

Beliau yang juga mantan menteri kewangan berkata, langkah tersebut adalah paling mudah untuk diambil, namun menyoal kembali adakah ia langkah yang bijak dan telah dikaji pihak PH dengan betul?

“Kita patut mengimbangi kos berbanding kebaikan sebelum membuat sesuatu keputusan,” katanya menerusi hantaran dalam laman media sosial Facebook semalam.

Menurut Najib, hutang kerajaan kebanyakannya adalah dalam bentuk bon atau sukuk. Kadar faedah ke atas bon-bon tersebut hanya adalah sekitar 3.6 peratus setahun.

Sementara purata kadar pertumbuhan aset dalam Khazanah ialah 9.6 peratus setahun manakala PNB ialah 9.2 peratus setahun, iaitu jauh lebih tinggi daripada kos faedah hutang.

Beliau memberi contoh: “Pada 2008, aset Khazanah ialah RM33.7 bilion. Jika kita jual keseluruhan aset Khazanah pada tahun itu, kita dapat mengurangkan hutang negara sebanyak RM33.7 bilion.

“Ia juga bermaksud kita akan mengurangkan beban faedah hutang sebanyak RM1.2 bilion setahun jika kadar riba ialah 3.6 peratus – iaitu penjimatan RM10.1 bilion untuk tempoh sembilan tahun sehingga akhir tahun 2017.

“Oleh kerana pada masa itu kita tidak jual aset Khazanah, asetnya meningkat dari RM33.7 bilion kepada RM115.7 bilion pada akhir 2017, iaitu keuntungan RM82 bilion.

“Pilihan mana yang lebih bijak? Keuntungan RM82 billion atau pun penjimatan RM10.1 bilion?” tanya Najib yang turut persoal adakah langkah jual aset negara seumpama gadai masa depan negara bagi tampung langkah populis.

Pada akhir 2008, beliau berkata, aset Khazanah meningkat daripada RM33.7 bilion kepada RM115.7 bilion pada akhir 2017 manakala aset PNB naik daripada RM120 bilion kepada RM279.2 bilion.

Tambah beliau, PNB juga urus dana sendiri yang dipanggil ‘propriety funds’ selain dana pencarum. Ia merupakan aset negara, telah meningkat daripada RM12 bilion pada akhir 2008 kepada RM43.9 bilion pada akhir 2017.

Loading...