Ubah Audi S7 Jadi Komputer Berkuasa Tinggi

BEIJING – Akibat terlalu gilakan permainan video, seorang lelaki di China sanggup membelanjakan kira-kira AS$180,000 (RM736,090) bagi mengubah suai kereta mewah Audi S7 menjadi komputer untuk dia bermain permainan video dalam kereta.

Abacusnews.com melaporkan, pengurus pemasaran e-dagang JD.com, Dong Kuo memasang kereta Audi S7 itu dengan komputer berkuasa tinggi menggunakan pendingin cecair.

Meskipun projek itu dianggap mencari publisiti, namun ia mungkin yang pertama dalam sejarah permainan video.

Dong Kuo dilapor membelanjakan kira-kira AS$180,000 (RM736,090) bagi memasang cip Intel Core i9-7900x, Asus ROG R6E RGB Monoblock, sejumlah besar tiub penyejukan, monitor Asus ROG Swift serta menambah baik kereta Audi S7.

“Kereta itu dilengkapi bekalan kuasa tanpa gangguan berjumlah 2,000 watt.

“Sebaik saya menyiapkannya dengan pemasangan paparan, kami boleh memandu sehingga ke puncak gunung untuk bermain PUBG dan menonton filem,” kata Dong yang turut dikenali sebagai Brother NV. – Agensi

Loading...