TMJ Kecewa Usaha Baik Sultan Johor Tak Diberi Perhatian

JOHOR BAHRU – Isu pemilikan sebidang tanah untuk projek Sistem Transit Aliran Johor-Singapura (RTS) yang didakwa mengaitkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilihat tidak disenangi anakanda baginda Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tunku Ismail menerusi ciapan di Twitter hari ini menyebut mengenai tanah-tanah yang telah dikurniakan Sultan Johor kepada rakyat sejak dahulu.

Putera sulung Sultan Johor itu juga dilihat seolah-olah kecewa apabila perkara yang baik dilakukan ayahandanya tidak pula mendapat perhatian sebaliknya hanya perkara yang buruk.

“Berapa banyak tanah-tanah Sultan Johor yang diberi kepada rakyat dan kerajaan semenjak dahulu hingga ke hari ini? Berjuta duit kurniaan kepada kerajaan?

“DYMM selesaikan hutang kerajaan masa tahun kedua menjadi Sultan. Berapa juta ke yayasan-yayasan? Benda baik tidak dikongsi,” katanya menerusi ciapan Baginda di Twitter hari ini.

Dalam ciapan berasingan, Tunku Ismail turut memberitahu terdapat pelbagai projek termasuk perumahan kepada rakyat yang disediakan ayahandanya tetapi tidak diberikan perhatian.

“Contoh rumah mampu milik Johor di Bandar Dato’ Onn dan Mersing, kedua-dua tanah ini dikurniakan oleh Tuanku. Dibina oleh Tuanku.

“Tanah masjid, kuil dan tokong yang dikurnia. Orang naik haji? Beribu dikurnia dan dibantu oleh Tuanku. Sumbangan-sumbangan ke Hospital. No news,” tulis baginda.

Terdahulu, Sultan Ibrahim kecewa atas laporan berita mengaitkan isu peningkatan kos projek RTS dengan sebidang tanah milik baginda Tuanku di Bukit Chagar di sini.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Johor, Datuk Jaba Mohd Noah berkata, sehingga ke hari ini, baginda Tuanku tidak pernah dimaklumkan mengenai tanah miliknya yang akan terlibat untuk projek tersebut.

“Namun begitu, DYMM Sultan Johor telah bertitah bahawa sekiranya benar tanah milik baginda Tuanku di Bukit Chagar terlibat untuk projek RTS, maka baginda Tuanku berkenan untuk menyerahkan tanah yang terlibat kepada kerajaan tanpa sebarang kos,” katanya. – Sinar Harian

Loading...