Titah Agong Istiadat Pembukaan Persidangan Parlimen

SEGALA pujian ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala Yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Dialah Yang Berkuasa memuliakan sesiapa yang Dia kehendaki dan menghina sesiapa yang dikehendaki. Selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga serta para sahabat Baginda.

1. Alhamdulillah, bersyukur Beta ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan kekuasaan-Nya jua telah mengizinkan berlangsungnya Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Ke-14 pada hari yang penuh bermakna ini.

2. Istiadat pada pagi yang mulia ini berlangsung dalam suasana negara masih lagi berhadapan dengan pandemik COVID-19. Namun, Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat ini jelas membuktikan bahawa amalan Demokrasi Berparlimen masih lagi subur berakar di negara yang tercinta ini.

Ahli-Ahli Yang Berhormat Sekalian,

3. Pada 16 Ogos yang lalu, buat kali kedua dalam tempoh pemerintahan Beta, negara telah sekali lagi menyaksikan peletakan jawatan Perdana Menteri Malaysia.

4. Pada kesempatan ini, Beta ingin menzahirkan penghargaan kepada Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin, Perdana Menteri Malaysia yang ke-8 dan barisan Ahli Jemaah Menteri yang telah menerajui pentadbiran negara mengharungi cabaran pandemik COVID-19 yang getir.

5. Seperti yang berlaku pada tahun 2020 yang lalu ekoran peletakan jawatan Perdana Menteri Malaysia yang ke-7, amanah berat untuk memilih dan melantik Perdana Menteri Malaysia yang ke-9 telah Beta laksanakan dengan berpandu kepada Perlembagaan Persekutuan.

6. Selaras dengan konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, Beta telah memberi peluang kepada semua 220 orang AhliAhli Dewan Rakyat untuk menamakan menerusi surat akuan seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberi kepercayaan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

7. Menerusi surat-surat akuan tersebut, Beta mendapati seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah memberi kepercayaan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob, Ahli Parlimen Bera.

8. Pada 19 Ogos 2021, setelah menerima menghadap semua 114 Ahli Dewan Rakyat tersebut, Beta telah berpuas hati bahawa kepercayaan yang diberikan kepada Yang Amat Berhormat Ahli Parlimen Bera adalah dengan kerelaan mereka sendiri serta dengan tanpa sebarang paksaan. Jumlah ini adalah merupakan jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan.

9. Justeru, selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Beta telah berkenan untuk melantik Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-9.

Ahli-Ahli Yang Berhormat Sekalian,

10. Kerajaan yang baru dibentuk ini hendaklah segera melipat gandakan usaha untuk memerangi pandemik COVID-19 dan membawa negara serta rakyat Beta keluar daripada ancaman pandemik ini.

11. Menerusi amalan budaya kerja berprestasi tinggi dan tumpuan untuk mencapai sasaran jangka pendek dan panjang, Beta percaya Kerajaan ini mampu membuktikan pencapaian awalnya dalam tempoh 100 hari pertama.

12. Melangkah ke hadapan, Beta ingin menasihatkan kepada semua pihak untuk mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan. Justeru, Beta menyambut baik keterbukaan Kerajaan dengan memberi peluang kepada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen untuk melibatkan diri dalam tadbir urus negara.

13. Kematangan seperti inilah yang didambakan oleh seluruh rakyat Beta. Ambillah nasihat pepatah Melayu lama yang berbunyi “biduk lalu, kiambang bertaut”. Sesungguhnya yang menang tidak menang semua, dan yang kalah tidak kalah semua.

14. Hanya menerusi perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan yang erat bagaikan sebuah “Keluarga Malaysia” sahajalah, kita akan dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan yang bakal ditempuh.

Ahli-Ahli Yang Berhormat Sekalian,

15. Negara kini berada di atas landasan yang kukuh dalam menangani pandemik COVID-19 menerusi pembentukan Majlis Pemulihan Negara dan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan serta pakej bantuan kewangan dan rangsangan ekonomi kepada rakyat.

16. Beta amat menghargai segala usaha berterusan Kerajaan dalam melaksanakan pelbagai strategi bagi menangani pandemik COVID-19 serta impaknya terhadap aspek ekonomi, sosial dan kesejahteraan rakyat. Manakala, peratus kes sembuh COVID-19 di negara kita adalah tinggi dan majoriti kes baharu pula adalah tergolong dalam kategori 1 dan 2. Malahan, negara kita adalah antara negara dengan kadar vaksinasi terpantas di dunia.

17. Pencapaian tersebut sudah pasti merupakan hasil daripada kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta. Kini, hampir 75% pekerja sektor pembuatan yang berdaftar dengan program imunisasi industri telah menerima vaksinasi lengkap dan telah membantu meningkatkan produktiviti di sektor pengilangan dan pembuatan.

18. Di sebalik kejayaan ini, Beta menyeru supaya kita jangan cepat terleka dan berpuas hati. Usaha hendaklah diteruskan bagi mengekang penularan jangkitan terutamanya dengan kemunculan pelbagai varian baharu. Kerajaan hendaklah terus berusaha untuk menurunkan kes jangkitan harian COVID-19 dan mencapai imuniti kelompok dengan segera.

19. Menyedari hakikat tersebut, strategi “whole-of-society effort” perlu dipergiatkan dengan naratif komunikasi yang berkesan. Beta mengalu-alukan usaha Kerajaan dalam memperkasa “Agenda Nasional Malaysia Sihat” dalam mendidik Keluarga Malaysia untuk hidup bersama virus ini.

20. Menerusi pendekatan ini, rakyat akan berasa yakin untuk menerima dan menyesuaikan diri dengan senario COVID-19 sebagai endemik, yang bersifat kekal dan menjadi sebahagian daripada kehidupan kita.

21. Dalam kita menerima COVID-19 sebagai sebahagian daripada kehidupan, seluruh rakyat hendaklah sedar akan bahayanya virus ini, khususnya varian baharu dan juga kemungkinan munculnya pelbagai varian lain pada masa hadapan.

22. Justeru, rakyat masih lagi perlu untuk sentiasa menjaga kesihatan diri, mengambil langkah berjaga-jaga dan kekal berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard pada sebilang masa. Lebih utama, rakyat hendaklah menentukan diri mereka divaksinasi.

23. Kerajaan juga hendaklah memperkemaskan dasar berhubung kemasukan dan pemberian visa kepada warga asing agar penularan varian baharu dapat dikawal. Pada masa yang sama, kawalan sempadan negara perlu sebilang masa diketatkan bagi membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin.

Ahli-Ahli Yang Berhormat Sekalian,

24. Kerajaan telah melaksanakan pelbagai pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat yang bernilai RM530 bilion. Di samping itu, belanjawan bagi tahun 2021 adalah belanjawan terbesar dengan peruntukan sebanyak RM322.5 bilion.

25. Beta menyambut baik komitmen Kerajaan dalam memacu pertumbuhan prestasi ekonomi negara agar lebih lestari, mampan dan berdaya saing, khususnya dalam pengukuhan sektor perdagangan dan pelaburan.

26. Daripada keseluruhan RM107 bilion pelaburan yang diluluskan, Kerajaan telah memperoleh hampir RM40 bilion nilai pelaburan dari tiga misi perdagangan dan pelaburan bagi tempoh 6 bulan pertama tahun 2021.

27. Selain itu, jumlah dagangan negara telah mencapai RM1 trilion dalam tempoh 6 bulan pertama pada tahun ini. Pencapaian pelaburan negara bagi kesemua sektor ekonomi juga telah meningkat hampir 70%.

28. Ini jelas memberi imej yang sangat positif bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang amat kompetitif, mesra perniagaan dan merupakan lokasi menarik bagi pelaburan antarabangsa dan domestik.

29. Beta juga bersyukur kerana Keluaran Dalam Negeri Kasar pada suku kedua tahun ini telah berkembang sebanyak 16.1%. Secara keseluruhan, pelaksanaan pakej rangsangan, pembukaan semula ekonomi dan struktur ekonomi Malaysia yang pelbagai (well-diversified), telah berjaya menunjukkan trend pemulihan ekonomi.

30. Pemulihan tersebut telah turut didorong oleh langkah yang diperkenalkan termasuk bantuan tunai kepada rakyat serta pakej sokongan bagi kelangsungan perniagaan.

31. Untuk separuh tahun kedua 2021, Kerajaan telah memberi bantuan tunai kepada 10 juta penerima dari golongan B40 dan M40, termasuk Bantuan Khas COVID-19 yang bernilai RM10 bilion. Bagi perniagaan di bawah Pakej PEMULIH, Geran Khas PRIHATIN bernilai RM1,000 akan dibayar kepada lebih 1 juta perusahaan kecil sederhana mikro.

32. Demi kelangsungan perniagaan, PEMULIH juga telah menyediakan subsidi upah sehingga 4 bulan tambahan bernilai hampir RM4 bilion yang bakal memberi manfaat kepada lebih 200,000 majikan.

33. Meskipun pandemik COVID-19 telah memberi impak negatif terhadap sektor-sektor tertentu negara, Beta berkeyakinan ekonomi Malaysia akan mula menunjukkan pemulihan selari dengan peningkatan kadar vaksinasi penduduk dan seterusnya memberi keyakinan kepada semua pemegang taruh dan para pelabur.

34. Oleh yang demikian, Kerajaan hendaklah sewajarnya mempercepatkan pemulihan ekonomi menerusi penggubalan dasar-dasar yang mesra perniagaan dan pelaburan bagi meningkatkan lagi daya saing negara.

35. Selain itu, perbelanjaan yang sewajarnya perlu turut disediakan bagi membiayai langkah kesihatan awam, menyediakan bantuan kepada golongan yang terjejas serta sokongan untuk menggiatkan aktiviti perniagaan selaras dengan pembukaan ekonomi.

36. Untuk membolehkan perbelanjaan tambahan bagi tujuan tersebut, Kerajaan akan membentangkan cadangan di Dewan yang mulia ini bagi meningkatkan siling perbelanjaan Kumpulan Wang COVID-19 serta had statutori hutang Kerajaan.

37. Peningkatan daya saing negara juga perlu difokuskan terhadap usaha menambah baik ekosistem serta persekitaran perniagaan bagi meneroka penciptaan kekayaan baharu dan menambah nilai terutamanya oleh perusahaan kecil sederhana mikro.

38. Perusahaan ini juga perlu diberi galakan untuk mengurus perniagaan secara digital demi untuk menjamin akses pasaran yang lebih luas. Selain itu, bidang-bidang pertumbuhan ekonomi baharu perlu segera dikenal pasti supaya Malaysia tidak ketinggalan di arena global.

39. Sementara itu, inisiatif baharu dan aktiviti tambah nilai menerusi penggunaan automasi dan teknologi untuk memajukan sektor perladangan, komoditi, pekebun kecil, pertanian, industri makanan, pelancongan dan mineral perlu dipercepatkan pelaksanaannya. Sektor-sektor tersebut sangat berpotensi untuk penciptaan sumber kekayaan baharu negara di samping berupaya menjamin sekuriti dan nutrisi makanan negara.

40. Beta ingin menzahirkan ucapan tahniah di atas kejayaan Rancangan Malaysia Kesebelas bagi tempoh 2016 hingga 2020. Dalam sesi Parlimen ini Kerajaan akan membentang pula Rancangan Malaysia Kedua Belas bagi tempoh 2021 hingga 2025. Rancangan ini bakal memperkenalkan beberapa pembaharuan dasar dan transformasi struktur untuk membawa pembangunan negara pada asas yang lebih kukuh dalam tempoh lima tahun akan datang bagi merealisasi semangat “Keluarga Malaysia” dan mencapai matlamat “Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan”.

41. Dasar jangka sederhana dan panjang akan turut diperkenalkan bagi menangani isu-isu kesihatan, keselamatan, kemiskinan, kehilangan pekerjaan dan kelangsungan perniagaan, di samping melonjakkan pertumbuhan ekonomi bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi.

42. Beta berkeyakinan pembangunan negara dan taraf hidup rakyat akan terus meningkat serta jurang pembangunan antara wilayah dan negeri, khususnya Sabah dan Sarawak akan dapat dirapatkan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat Sekalian,

43. Sesungguhnya, Beta amat prihatin dengan nasib rakyat Beta yang telah terkesan ekoran daripada pelaksanaan pelbagai langkah-langkah tertentu oleh Kerajaan dalam usaha untuk membendung pandemik COVID-19.

44. Justeru, Beta menyeru kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat dan semua agensi Kerajaan yang berkaitan untuk bertindak proaktif dengan turun padang untuk meninjau dan menyelami isu-isu rakyat dari dekat serta memantau pencapaian program-program yang telah diumumkan.

45. Program Jaringan Keselamatan Sosial seperti inisiatif Wilayah Cakna, Wilayah Bebas Berniaga dan Usahawan Anak Muda Kota yang berupaya untuk meringankan bebanan warga kota hendaklah terus diberi tumpuan.

46. Pada masa yang sama, Program Pembangunan Luar Bandar hendaklah terus ditingkat dan diperkasakan. Ketika ini, sejumlah 7.6 juta warganegara adalah merupakan penduduk luar bandar termasuk 198,015 orang penduduk Orang Asli. Kerajaan hendaklah menentukan Pelan Strategik Pembangunan Luar Bandar dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas yang meliputi infrastruktur ekonomi, keusahawanan, modal insan dan sistem penyampaian dapat dilaksanakan bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.

47. Inisiatif untuk membantu masyarakat luar bandar dalam menghadapi pandemik COVID-19 juga wajar diteruskan bagi meringankan bebanan mereka.

48. Kerajaan juga hendaklah memberi tumpuan dalam penyediaan infrastruktur perkhidmatan jalur lebar ke seluruh negara bagi pembentukan ekosistem digital yang lebih baik. Usaha ini kelak bakal mendorong transformasi sistem penyampaian Kerajaan, membantu pertumbuhan ekonomi serta meningkat keupayaan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana.

49. Persekitaran mesra digital serta penggunaan automasi dan teknologi tinggi boleh menjadi pemangkin kepada negara untuk beralih daripada industri berintensifkan buruh kos rendah kepada industri berteknologi tinggi. Di samping itu, ianya boleh memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dan seterusnya berupaya untuk mengurangkan penggunaan tenaga buruh asing.

50. Walau apa jua cabaran yang dihadapi, bidang pendidikan tidak boleh dilupakan sama sekali. Pendidikan yang mencakupi pelbagai bidang ilmu hendaklah sentiasa diterokai terutamanya pendidikan sains dan teknologi. Akses pendidikan yang lebih inklusif perlu diberikan perhatian bagi melahirkan anak watan yang mampu menghasilkan pelbagai inovasi berimpak tinggi.

51. Manakala pendidikan akhlak dan kerohanian turut wajar diberi tumpuan demi untuk membendung pelbagai agenda negatif dan menyimpang dari tatasusila masyarakat.

52. Pendidikan pasca-pandemik COVID-19 memerlukan rancangan jangka masa panjang yang mampan dan telus serta bersifat holistik dan komprehensif. Formula pelan pendidikan pasca-pandemik yang tuntas memerlukan penglibatan dan kerjasama dari semua pemegang taruh merentasi politik, ideologi dan kepakaran.

53. Aspek pertahanan dan keselamatan termasuk keselamatan siber turut berkait rapat dengan kesejahteraan rakyat Beta. Agensi-agensi yang bertanggungjawab terhadap pertahanan dan keselamatan negara hendaklah sentiasa bersiap siaga pada sebilang masa dan terus meningkatkan keupayaan masing-masing. Sebarang bentuk tindakan yang cuba mencabar kedaulatan negara hendaklah segera ditangani agar Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman lagi berdaulat.

54. Beta turut menyokong peranan aktif Malaysia serta pendekatan pragmatik yang diambil oleh Kerajaan dalam bidang diplomasi yang akhirnya telah meningkatkan imej dan reputasi negara di persada antarabangsa. Ini dapat dilihat menerusi pelbagai bantuan vaksin yang telah diterima dari pada negara-negara lain.

55. Justeru, Beta ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun, Arab Saudi, Republik Rakyat China dan Emiriah Arab Bersatu atas sumbangan vaksin tersebut.

56. Beta juga menyambut baik langkah Kerajaan dalam menggalakkan amalan tadbir urus yang baik berteraskan integriti. Menerusi amalan ini sebuah sistem pemerintahan dan pentadbiran yang berintegriti, telus dan cekap akan menjadi kenyataan. Oleh yang demikian, adalah amat bertepatan bagi Pelan Antirasuah Nasional dan Pelan Antirasuah Organisasi untuk terus didokong bagi mencapai aspirasi rakyat Beta untuk hidup dalam sebuah negara yang bebas rasuah dan berintegriti.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

57. Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana negara bertuah ini telah dilimpahkan rahmat keamanan dan keharmonian yang berkekalan. Hasilnya rakyat Beta dari berbilang bangsa, budaya dan agama dapat hidup dengan penuh kemakmuran dan bekerja bersama-sama untuk kemajuan negara. Beta menyeru agar sebarang bibit-bibit pertelingkahan hendaklah segera dihentikan supaya Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman, harmoni dan bersatu padu.

58. Bersempena sambutan Hari Malaysia yang bakal diraikan tidak lama lagi, Beta menyeru kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat dan seluruh rakyat Beta untuk menghayati sejarah kemerdekaan negara dan pembentukan Persekutuan Malaysia agar kita akan sentiasa berdiri tegap dan kukuh di atas asas patriotisme dan semangat cintakan negara yang tinggi.

59. Pada kesempatan ini Beta ingin merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan para atlet negara di temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo yang telah berjuang mengharumkan nama negara dengan berbekalkan sokongan dan doa dari seluruh rakyat Malaysia.

60. Beta juga amat menghargai taat setia dan sumbangan anggota-anggota Perkhidmatan Awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta agensi-agensi Kerajaan yang telah mencurahkan khidmat bakti sehingga menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman, makmur dan disegani.

61. Dalam negara berhadapan saat getir mengharungi pandemik COVID-19, petugas barisan hadapan negara khususnya perkhidmatan kesihatan terus berusaha keras mencurah khidmat bakti tanpa mengenal penat dan lelah serta berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam sebuah landskap tempoh pandemik yang panjang.

62. Justeru, marilah kita terus menyokong dan merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan dan sektor kritikal lain atas perkhidmatan mereka yang tiada bandingannya.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

63. Setelah lebih setahun berlalu, negara masih lagi belum bebas sepenuhnya daripada pandemik COVID-19. Negara dan rakyat Beta telah terlalu lama dibelenggu dengan masa hadapan yang kelam, bergelut dengan isu kesihatan dan juga kemurungan ekonomi. Terlalu ramai rakyat Beta yang terkesan dengan penularan pandemik ini. Terlalu ramai juga rakyat Beta yang telah kehilangan sumber rezeki.

64. Ratusan pucuk surat telah Beta terima dari rakyat Beta yang merintih penuh duka dengan seribu harapan agar sinar perubahan dapat mereka kecapi dengan segera bagi meneruskan kehidupan seharian seperti biasa.

65. Nasihat Beta kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat jangan sama sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat Beta sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.

66. Justeru, Beta menyeru kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian untuk mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik COVID-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat Beta dan negara tanah tumpahnya darah kita. Semoga Malaysia serta rakyat yang Beta kasihi akan terus diberkati dan dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dengan taufik dan hidayah, aman sentosa serta hidup bersatu padu di bawah lindungan-Nya.

67. Izinkan Beta untuk mengakhiri titah ini menerusi 3 buah rangkap pantun sebagai pesanan tulus ikhlas Beta buat Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian.

Dari Segamat ke Kota Tinggi;
Hajat mulanya ke Kuala Pahang;
Kepada Yang Berhormat ikhlaslah berbakti;
Tidaklah rakyat gusar dan bimbang.

Kalau memandang langit yang tinggi;
Jangan lupa rumput di bawah;
Bekerjalah Yang Berhormat sepenuh hati;
Martabatkan negara kembali bermaruah.

Rempah halia digaul diuli;
Buat ramuan nasi kebuli;
Sumpah setia ketaatan diberi;
Pertahankan negara dan ibu pertiwi.