BERMULA dengan lakonan dalam drama Sutun 2, kini nama Sherry Alhadad terkenal dengan pengacaraannya yang santai dan namanya malah tidak perlu diperkenalkan lagi.
Mempunyai minat yang mendalam dalam bidang seni terutamanya teater membuatkan wanita berusia 32 tahun ini terus berusaha untuk mengecapi pencapaian terbaik dalam hidupnya.
The Sherry Show sebagai bukti kegemilangannya apabila beliau buat pertama kalinya mampu untuk mengacarakan rancangannya sendiri secara solo.
Walaupun berasa gementar, namun pemilik nama Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad ini bersyukur kerana impiannya sudah tercapai.
“Saya sangat teruja sebab akhirnya impian nak ada program sendiri sudah tercapai. Tapi gementar juga nak mengacara seorang diri.
“Apabila menerima tawaran tersebut, saya cakap pada pihak produksi yang saya nak jadi diri sendiri dalam program tersebut.
“Apa yang saya buat atas pentas, itulah saya. Malah, saya juga diberi kebebasan untuk menyumbang idea untuk menjadikan program itu lebih menarik,” katanya dipetik mStar Online.
Jika dulu Sherry sering digandingkan dengan Zulin Aziz, nampaknya walaupun bergerak solo, masih banyak tawaran pengacaraan yang diterimanya.
Namun, dalam kejayaannya menjadi pengacara dan pelakon, ramai yang tidak mengetahui yang Sherry pernah berputus asa untuk beraksi di pentas hiburan.
Tetapi, dia bangkit semula apabila memikirkan bidang seni adalah minat dan kehidupannya.
“Sebenarnya saya pernah berputus asa sekejap dalam industri seni. Terus terang saya cakap, seni adalah hidup saya.
“Saya tak tahu nak buat benda lain, memang tak reti. Tapi ini impian saya sejak kecil lagi.
“Ketika itu, saya pernah buat persembahan di depan rakan-rakan dan memaksa juga mereka tengok saya,” ujarnya.
Dengan kemunculan program The Sherry Show, mungkin ia boleh menjadi pemangkin semangat untuk Sherry meneruskan perjalannya dalam dunia seni.
Program yang mempunyai tujuh episod ini bakal disiarkan di TV3 bermula 19 November ini. – MYNEWSHUB.CC/SA