Suspek, Polis Berbalas Komen Di FB Selama Seminggu

WASHINGTON – Jabatan Polis Richland di sini tidak menyangka iklan pencarian seorang suspek yang dikehendaki telah mendorong individu itu muncul dan membalas mesej di laman Facebook mereka, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.

Perbuatan itu bermula apabila agensi penguatkuasaan itu memuat naik satu status individu dikehendaki di laman sosial berkenaan pada 28 November lalu.

“Anthony Akers, 38, dikehendaki oleh Jabatan Penjara kerana gagal mematuhi hukuman terhadapnya. Jika sesiapa ada maklumat, sila hubungi 509-628-0333,” menurut paparan iklan itu.

Selang lima jam kemudian, Akers muncul dan membalas komen Facebook Jabatan Polis Richland itu dengan meminta pihak berkuasa supaya ‘bertenang’ dan dia akan tampil dan menyerah diri dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, suspek dikatakan gagal berbuat demikian selepas penantian selama beberapa hari sekali gus mendorong polis ‘menyapanya’ dengan menawarkan satu kenderaan untuk membantu menjemput suspek ke balai. Akers sekali lagi membalas komen pihak polis dengan memaklumkan dia akan ke balai polis dalam tempoh 48 jam.

Episod berbalas komen di Facebook berlarutan selama seminggu sebelum Akers akhirnya menyerah diri kepada polis

Suspek yang hadir ke balai polis turut merakam gambar swafoto di hadapan sebuah lif dan berkongsi gambar itu tatapan netizen di akaun Facebook Jabatan Polis Richland. – Agensi/Kosmo Online

Loading...