Suami Minta Rahsiakan Sementara Waktu – Izreen

BEBERAPA hari lepas, kecoh mengenai status pelakon Izreen Azminda apabila isteri pertama suaminya, Intan Liana mendedahkan yang dia sudahpun dimadukan sejak beberapa bulan lalu.

Baca: Izreen Dah Nikah, Isteri Pertama Tak Kisah Bermadu

Semalam, menerusi akaun Instagram milik pelakon itu, Izreen dengan rendah diri meminta maaf kepada semua kerana telah merahsiakan perkara tersebut daripada pengetahuan umum.

Menurutnya, dia sendiri tidak berniat untuk merahsiakan perkara baik tersebut, tetapi, itu adalah permintaan suami yang baru dinikahinya sejak empat bulan lalu.

“Saya ingin memohon maaf kerana tidak memberitahu berita ini sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai status saya.

“Memandangkan status saya sebagai isteri juga, saya terpaksa akur dengan permintaan suami, Muhammad Radzi Abdul Wahid supaya tidak menghebahkan berita ini sementara waktu memandangkan ini adalah pernikahan kedua buat saya,” tulisnya di laman Instagram.

Namun, dia sedar, sebagai seorang yang dikenali, aktres itu seharusnya berkongsi berita berkenaan terutama sekali kepada peminat-peminat yang sentiasa menyokongnya.

Tambahnya lagi, dia dan suami telah disatukan pada 8 Ogos yang lalu dan telah dinikahkan oleh bapa Izreen sendiri.

Majlis yang berlangsung di Sunway Damansara, Selangor itu hanya dihadiri oleh keluarga dan teman rapatnya.

Dalam pada itu, Izreen mengharapkan tiada lagi cerita-cerita kurang enak didengar yang timbul mengenai perkahwinan baharunya itu dan hanya menyerahkan segalanya kepada takdir.

“Tidak perlu saya mencari bukti untuk menunjukkan kebenaran kerana kebenaran yang sebenar akan datang dengan sendiri. Itu biar masa yang menentukan,” tulisnya.

Sebelum ini, status pelakon berusia 32 tahun itu menjadi tanda tanya apabila pernah menukar nama di Instagramnya menjadi ‘Madam Izreen Azminda’.

Juga: “Izreen Azminda, Intan Liana Isteri Saya” – Ude

Kemudian, suaminya yang lebih dikenali sebagai Ude telah mengakui perkara tersebut dan telah mengeluarkan kenyataan sekali gus menjawab segala persoalan yang timbul.

Khabarnya, satu majlis doa selamat akan diadakan pada 7 Disember akan datang. Izreen turut meminta agar netizen mendoakan urusan diri, suami dan Intan dipermudahkan. – MYNEWSHUB.CC/SA